KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah murka apabila menyifatkan suatu yang tragis dan menyakitkan selepas 14,494.908 hektar tanah kerajaan negeri didapati diceroboh dan diusahakan secara haram dengan tanaman sawit, getah, durian dan pelbagai hasil bumi.
Baginda bertitah lebih malang lagi kira-kira 5,997.09 hektar hutan simpanan kekal (HSK) juga diceroboh, kononnya atas nama pertanian, tetapi hakikatnya perompakan terbuka terhadap harta negeri.
“Masalah ini bukan baru bermula semalam. Ia telah berakar sejak lebih empat dekad yang lalu, ianya berlaku tanpa pengetahuan beta. Namun, bukan niat beta untuk mengungkit kisah lama atau menambahkan kekusutan. Kita tidak mahu terus dibelenggu oleh bayang-bayang masa silam. Sebaliknya, kita berhasrat untuk menoktahkan kemelut pencerobohan tanah secara haram ini.
“Biarlah kisah lalu itu menjadi pengajaran. Jika ada unsur rasuah, salah guna kuasa atau pengkhianatan terhadap amanah, biarlah Allah yang maha adil menentukan dan menjatuhkan hukumnya. Bagaimanapun, adalah menjadi hasrat dan pendirian kita bersama, sebagaimana sudah dipersetujui oleh kerajaan negeri untuk membuka lembaran baharu dengan pendekatan yang lebih mampan, adil dan menyeluruh.
“Pendekatan yang tidak sekadar menghukum, tetapi juga membina. Yang tidak hanya menamatkan pencerobohan, tetapi memulihkan semula maruah undang-undang serta menjana hasil kepada tanah negeri ini,”titah baginda pada Majlis Perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 di sini hari ini.
Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda berbangga dan menzahirkan penghargaan atas usaha kerajaan negeri bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) yang mengambil tindakan tegas di lapangan termasuk membuat tangkapan, memotong pokok-pokok ditanam secara haram dan juga menutup lombong-lombong yang dibuka tanpa rasa malu dan takut.
Baginda menegaskan, seiring keputusan kerajaan negeri itu, tidak akan ada sebarang kelulusan baharu oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri bagi mana-mana permohonan tanah yang sudah diceroboh secara haram.
“Ini adalah prinsip yang tidak boleh dikompromi demi menjunjung kedaulatan undang-undang serta menjaga amanah kepada negeri dan rakyat. Tambahan pula, keadaan hari ini membimbangkan, apabila ada yang sengaja meniupkan api sentimen demi meraih simpati, seolah-olah pencerobohan ini satu bentuk perjuangan.
“Beta ingin mengingatkan, perjuangan yang bersandarkan kezaliman terhadap tanah hak milik negeri, tidak akan pernah sesekali mendapat restu beta,”titah baginda.
Tambah baginda apa yang lebih mendukacitakan ialah terdapat segelintir pihak termasuk individu yang seharusnya menjadi contoh dan pembela kepada undang-undang, sebaliknya memilih menyokong perbuatan yang tidak bertamadun ini.
Titah Al-Sultan Abdullah, tindakan sedemikian bukan sahaja mencemarkan imej institusi, bahkan boleh menjejaskan kedaulatan pentadbiran negeri.
“Janganlah kerana kepentingan politik sempit, hukum diketepikan dan perbuatan salah dimuliakan,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE