PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Ops Gasak 2025 bermula 1 Mei depan bertujuan membanteras penyelewengan subsidi gas petroleum cecair (LPG).
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, operasi itu akan digerakkan secara komprehensif di seluruh negara dengan melibatkan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan.
Menurut beliau, Ops Gasak 2025 adalah sebahagian daripada kerangka inisiatif pelaksanaan Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (Kita Gempur) bagi memastikan gas memasak bersubsidi tidak disalah guna oleh pihak industri tidak layak.
“Kita dapati terdapat industri yang tidak layak untuk mendapat subsidi gas (dengan) mendapatkan gas melalui kaedah ‘decanting’ iaitu memindahkan gas dari tong yang ditetapkan untuk tujuan subsidi kepada tong untuk penjualan industri.
“Kita mahu pihak ini sedar bahawa mereka tidak sewajarnya menggunakan subsidi itu untuk kepentingan sendiri kerana ia perlu sampai kepada rakyat yang memerlukan,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Sambutan Hari Penguat Kuasa Ke-53 KPDN di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, aduan mengenai sukatan isi padu tong gas yang tidak mencukupi, penggunaan LPG di premis dobi dan penyeludupan LPG melalui sempadan merupakan antara perkara utama yang diberi perhatian menerusi Ops Gasak.
Katanya lagi, ketirisan subsidi gas memasak harus ditangani segera berikutan ia melibatkan implikasi kewangan yang tinggi kepada kerajaan.
“Implikasi subsidinya mencecah RM3 bilion setahun. Kalau kita tidak selesaikan isu ini, kita risau implikasi kewangan itu akan bertambah mencecah lebih RM4 bilion untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.
Justeru, katanya, KPDN memerlukan kerjasama daripada rakyat untuk menyaluarkan maklumat melalui platform yang disediakan agar dapat bersama-sama membanteras dan menamatkan tindakan pihak yang mengambil keuntungan atas angin terhadap subsidi kerajaan. – KOSMO! ONLINE