fbpx
ASWADI memaklumkan penguat kuasa KPDN di Kelantan mempunyai kekuatan tidak sampai 200 orang de­ngan 80 daripadanya menjalankan tugasan di Kota Bharu.

Sanggup ‘lari’ jauh semata-mata mahu isi minyak subsidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Petrol dan minyak masak merupakan antara dua komoditi utama kategori barangan rampasan barang kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 di Kelantan sepanjang tahun 2025.

Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merampas lebih 90,198 liter petrol dengan nilai rampasan sebanyak RM195,961 dan lebih 50 tan minyak masak bersubsidi bernilai RM127,100 sepanjang tahun lalu.

Kesemua barangan kawalan tersebut berjaya dirampas KPDN Kelantan sebelum diseludup ke Thailand sekali gus mengelakkan kerugian dan ketirisan hasil subsidi yang dikhaskan kepada rakyat tempatan daripada terlepas ke negara jiran.

Jumlah rampasan kedua-dua barangan itu berkurangan berbanding tahun-tahun sebelum ini disebabkan oleh penguatkuasaan ketat pelbagai pihak berkuasa yang menjalankan operasi besar-besaran membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan bermula 1 Disember 2024.

Wartawan Kosmo! Ahad, Muhammad Ayman Ghaffa menemu bual Timbalan Pengarah KPDN Kelantan merangkap Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, Aswadi Jaafar mengenai penguatkuasaan yang dijalankan oleh agensi tersebut untuk mengekang penyeludupan petrol khususnya di sempadan.

KOSMO! AHAD: Seperti yang dilaporkan pihak polis sebelum ini kes penyeludupan dadah di sempadan Malaysia-Thailand mencatatkan pengurangan lebih 90 peratus pada tahun lalu. Bagaimana situasi mengenai penyeludupan barangan bersubsidi terutama petrol di Kelantan?
Aswadi: Mengikut data dan sumber risikan kita, masih berlaku ke­giatan penyeludupan petrol di sempadan Malaysia-Thailand khususnya di sepanjang Sungai Golok. Semuanya masih dalam pemantauan KPDN dan setakat ini penyeludupan dikatakan berlaku bukan dalam skala besar.
Masih ada penyeludup yang berani menggunakan tong-tong jerikin atau mengubah suai kenderaan mereka untuk membawa petrol sebelum diseludup ke negara berkenaan.
Kita tidak boleh nafikan bahawa penyeludupan masih berlaku. Pegawai KPDN Kelantan ada menjalankan risikan di Thailand dan mendapati penjualan bara­ngan bersubsidi dari negara ini terutamanya petrol masih berleluasa di sana.
KPDN dan pihak berkuasa lain yang menjalankan tugasan di sempadan sebenarnya tidak pernah memberi ruang kepada penyeludup untuk menjalankan kerja-kerja mereka di sempadan.
Mereka cuma licik mencari ruang untuk melakukan kegiatan tersebut.

Statistik jumlah rampasan ke­seluruhan barangan seludup di Kelantan sepanjang tahun lalu?
Nilai keseluruhan rampasan barangan bersubsidi dan semua barangan yang dijalankan oleh KPDN Kelantan sepanjang tahun lalu berjumlah RM4.77 juta de­ngan seramai 224 individu ditahan untuk membantu siasatan.
Daripada jumlah itu, petrol dan minyak masak mencatatkan nilai rampasan tertinggi seba­nyak RM323,000 diikuti 32,598 liter diesel (RM93,679), 7.6 tan gula (RM21,863), 3.9 tan tepung (RM12,187) dan 2.3 tan petroleum cecair (LPG) (RM4,569).
Bagi kes melibatkan stesen minyak di Kelantan, seba­nyak 16 kes sudah disiasat melibatkan kegiatan penyeludupan petrol.

Aswadi (kanan) memberi penerangan mengenai operasi penguatkuasaan di sempadan Malaysia-Thailand kepada pegawai KPDN di Kota Bharu baru-baru ini. – KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Menyentuh mengenai pelaksanaan Budi95 pada 30 September 2025, adakah berlaku kekurangan penyeludupan RON95 selepas pengguna perlu menggunakan MyKad untuk mengisi minyak?
Siasatan dan risikan KPDN mendapati, penyeludupan petrol terutamanya RON95 masih berlaku sejak pelaksanaan Budi95. Kita lihat bahawa, selagi ada ruang dan keuntungan di sempadan penyeludup akan terus melakukan kegiatan mereka.
Cuma, jumlah rampasan petrol semakin berkurang apabila hanya sebanyak 3,779 liter petrol bernilai RM9,863 yang dirampas sepanjang tempoh 30 September hingga 31 Disember tahun lalu.
Walaupun jumlah rampasan petrol pada tahun lalu berkura­ngan, masih terdapat banyak rungutan dan aduan berkaitan isu ketirisan barangan subsidi.
Jadi, kita sentiasa meningkatkan tahap penguatkuasaan agar kegiatan penyeludupan di sempadan dapat diatasi.
Keprihatinan dan maklumat orang awam sangat penting dalam membantu KPDN mengekang penyeludupan petrol di sempadan lebih-lebih lagi me­nyalahgunakan Budi95.
Ia kesalahan besar ke­rana menyeleweng subsidi untuk kegunaan khas rakyat di negara ini.

Apa langkah-langkah diambil KPDN Kelantan bagi mengelakkan kegiatan penyeludupan petrol dengan menyalahgunakan Budi95 te­rutamanya di stesen minyak?
Sebanyak tiga stesen minyak yang berada di kawasan sempadan terutamanya di Pasir Mas dan Tumpat dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ untuk penyeludup mengisi petrol sebelum dibawa pangkalan haram.
Kita sudah menempatkan pegawai statik KPDN di stesen-stesen minyak tersebut mengikut jadual sebagai langkah untuk mengelakkan kereta penyeludup masuk dan mengisi petrol secara berlebihan daripada kapasiti asal kenderaan.
Berdasarkan pemerhatian, kenderaan penyeludup tidak berani masuk atau terus ‘lari’ daripada mengisi minyak petrol di stesen-stesen minyak yang ditempatkan pegawai statik KPDN.
Mereka sanggup pergi ke ste­sen minyak lain yang berada di luar kawasan atau berjauhan dari sempadan untuk menjalankan kegiatan penyeludupan petrol.
Penempatan pegawai statik KPDN itu hanya di stesen minyak tertentu sahaja dan kita tidak mampu untuk meletakkan pegawai di semua stesen minyak di Kelantan.
Penguat kuasa KPDN di Kelantan ketika ini mempunyai kekuatan tidak sampai 200 orang de­ngan 80 daripadanya menjalankan tugasan di Kota Bharu.
Jumlah pegawai dan anggota itu dibahagikan kepada banyak tugasan melibatkan siasatan, pemeriksaan dan operasi.
Jadi, kita tidak boleh ‘longgokkan’ semua penguat kuasa di stesen minyak atau di kawasan sempadan sahaja. Kawasan dan sektor lain juga berada dalam pemantauan KPDN.

Bagaimana pegawai statik KPDN tahu modus ope­randi yang dilakukan oleh penyeludup semasa mengisi petrol untuk diseludup ke negara jiran?
Kita dapat mengenal pasti modus operandi atau taktik peny eludup ini pada awalnya melalui kenderaan yang digunakan oleh pemandu. Kebanyakan penyeludup menggunakan kenderaan lama, tetapi mengisi petrol me­lebihi kapasiti tangki asal.
Daripada situ, kita dapat tahu bahawa pemandu itu mengubah suai tangki minyak kereta mereka untuk mengisi petrol dalam kuantiti yang banyak. Pegawai statik KPDN juga boleh mengecam kenderaan yang membuat pengisian petrol secara berulang dalam tempoh sehari.
Selain itu, ada juga penyeludup yang membawa tong-tong jerikin di dalam kenderaan untuk menyeludup petrol. Ini antara modus operandi dan taktik yang dikenal pasti oleh pegawai statik KPDN semasa menjalankan pemantauan di stesen minyak di sempadan.

Pegawai statik KPDN sentiasa membuat pemantauan kenderaan yang mengisi minyak.

Kawasan atau daerah yang menjadi fokus utama KPDN Kelantan untuk menjalankan penguatkuasaan melibatkan kes penyeludupan petrol atau operasi kepenggunaan?
Saya boleh katakan kawasan sempadan Malaysia-Thailand sepanjang Sungai Golok dari Pengkalan Kubor, Tumpat ke Jeli merupakan antara lokasi tum­puan kita.
Tetapi, KPDN tidak boleh terlalu fokus terhadap penguatkuasaan di sempadan kerana bidang tugas kita luas dan bukan hanya membanteras penyeludupan di sempadan.
Kita perlu menjalankan pemantauan atau operasi di premis-premis lain yang tidak tertumpu kepada aspek penyeludupan. Sebagai contoh, kita boleh menjalankan pemantauan penyeludupan petrol dan operasi sama, KPDN juga boleh memastikan pematuhan harga-harga barangan di premis tertentu.
Tugas kita besar, namun penekanan harus diberikan kepada barangan subsidi terutama petrol kerana merupakan hak rakyat negara ini. Jadi, sudah menjadi tanggungjawab KPDN untuk melindungi hak pengguna.

Apa cabaran yang dihadapi oleh KPDN dalam melaksanakan tugas di negeri sempadan Malaysia-Thailand yang dikatakan menjadi lubuk kepada segala kegiatan penyeludupan?
Pertama sekali, KPDN menjalankan segala penguatkuasaan mengikut undang-undang demi menjaga pihak berkepentingan iaitu rakyat Malaysia. Apabila ada kegiatan penyeludupan sejak turun-temurun, sudah tentu ada golongan yang tidak suka kita menjalankan tugas mengikut undang-undang.
Misalnya di sempadan Malaysia-Thailand, betapa panjang sempadan Sungai Golok dan ba­nyaknya lorong-lorong tikus yang perlu dipantau untuk mengelakkan kegiatan penyeludupan.
Daripada aspek ancaman, sudah tentu ada, tetapi tidak serius walaupun kita tahu kehadiran pegawai atau anggota KPDN di stesen-stesen minyak atau lokasi penyeludupan tidak disenangi sindiket-sindiket tertentu.
Buat masa ini, tiada sebarang provokasi yang menyebabkan kecederaan berlaku sepanjang operasi dijalankan di kawasan sempadan dan segalanya masih boleh diatasi.
Secara hakikatnya, pegawai atau anggota KPDN mungkin tidak mengenali mereka yang melakukan penyeludupan, tetapi gerak-geri sindiket dan modus operandi yang digunakan penyeludup sentiasa dalam radar kami.

Apa misi dan visi KPDN Kelantan dalam aspek penguatkuasaan bagi 2026? Ada kawasan yang akan menjadi fokus untuk laksanakan operasi tahun ini?
KPDN Kelantan sentiasa memastikan setiap hak atau kepen­tingan pengguna iaitu rakyat Malaysia sentiasa dijaga. Situasi di Kelantan juga berbeza kerana kita mempunyai kawasan sempadan yang panjang dengan Thailand.
Sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan bukan hanya melalui Sungai Golok, ia turut melibatkan laluan laut. Jadi, sudah tentu banyak yang perlu kita ambil cakna kerana modus operandi penyeludup sentiasa berubah.
Jadi, kita perlu lebih ‘advance’ (terkedepan) daripada mereka agar kegiatan penyeludupan dapat dinoktahkan dan pemantauan akan terus dilaksanakan tanpa henti.
Setakat ini, tiada sebarang operasi khas yang dirangka KPDN Kelantan, tetapi kita sentiasa bekerjasama dengan agensi lain untuk menjalankan pemantauan secara agresif di sempadan.
Paling penting adalah tugasan rutin di sempadan tidak ditinggalkan kerana ia merupakan benteng terakhir daripada mengelakkan segala barangan subsidi milik rakyat terlepas ke Thailand.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN