PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Istana Kehakiman, di sini pada pukul 8.25 pagi bagi menghadiri prosiding keputusan rayuan yang melibatkan dirinya.
Syed Saddiq, 32, yang tampil kemas dengan sut berwarna hitam, hadir ditemani pegawainya.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan pada 20 Mac lalu telah menangguhkan prosiding kepada 17 April bagi memberi ruang kepada pihak pendakwaan menyambung hujahan dalam rayuan yang difailkan oleh bekas Menteri Belia dan Sukan itu untuk mengetepikan sabitan terhadap empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Rayuan tersebut difailkan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023 yang mensabitkan Syed Saddiq atas kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada. Beliau dihukum penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta. -KOSMO! ONLINE