SHAH ALAM – Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersedia menawarkan bantuan rumah sementara kepada mangsa-mangsa insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya dekat sini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, perbincangan sedang dijalankan antara pihaknya dengan kerajaan negeri agar mangsa mendapat tempat tinggal selesa bagi meneruskan hidup mereka.
Katanya, antara lokaliti ditawarkan adalah di Seksyen 6, 7 dan 13 di Shah Alam selain di Kuala Lumpur.
“Ia meliputi pelbagai jenis kediaman seperti apartment, kondominium, rumah teres, semi-D, banglo dan flat.
“Terdapat juga di Bangi melibatkan namun projek apartmen itu. Saya tengah minta kontraktor mempercepatkan pembinaannya,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Terdahulu, beliau mewakili Kumpulan PKNS menyampaikan sumbangan sebanyak RM1 juta kepada Tabung Prihatin Selangor kepada Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Datuk Dr. Haniff Zainal Abidin yang disaksikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari semasa Majlis Jalinan Aidilfitri PKNS, hari ini.
Beliau bagaimanapun menyatakan bahawa pihaknya hanya bertindak sebagai penyedia perkhidmatan dengan segala proses permohonan dan tawaran diuruskan kerajaan negeri dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).
“Rumah sudah ada, cuma yang akan salurkan siapa duduk dan berapa harga sewa semua akan diuruskan LPHS dan kerajaan negeri.
“Sebagai satu perbadanan yang bertanggungjawab, memang kita tahu hal ini (kadar sewa) dan kita tidak akan mengambil untung apa pun.
“Kita akan ‘go below cost’. Satu-satu bangunan, kita ada pulangannya namun kita tidak kira yang itu. Kita kira ‘cover’ air dan api (elektrik) serta sedikit penyelenggaran,” ujarnya.
Jelasnya, ini berikutan sekiranya sesebuah rumah itu terbakar ada dua perkara mustahak difikirkan iaitu sama ada perlu membayar pinjaman rumah sekiranya tiada polisi MRTA (Mortgage Reducing Term Assurance) selain harus membayar pinjaman kereta.
Ketika ditanya sama ada bantuan rumah itu akan menjadi kepada konsep Sewa-untuk-Milik atau Rent-to-Own (RTO), Mahmud berkata, perkara tersebut boleh dipertimbangkan pihaknya.
“Ya, itu boleh buat (RTO) tetapi biasanya RTO ini bila kita bayar harga sewa yang tinggi.
“Jadi kalau nak ‘convert’ itu, kita beri peluang. Namun, saya berharap rumah mereka ini dapat diperbaiki balik dengan cepat. Ini kerana sebagai pemaju, saya tahu benda ini boleh buat,” katanya. – KOSMO! ONLINE