PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini memanggil pihak Sin Chew Daily bagi tujuan siasatan berhubung penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit pada muka hadapan akhbar itu semalam.
KDN dalam satu kenyataan berkata, surat tunjuk sebab juga telah diserahkan pada sesi berkenaan oleh pihak akhbar terbabit.
Katanya, KDN mmulakan siasatan serta-merta berpandukan dua perundangan iaitu Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Akta 414) dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
“Tindakan penguatkuasaan tegas atas kesalahan bagi kedua-dua akta itu akan dipertimbang sewajarnya selepas siasatan dilengkapkan.
“KDN tidak sesekali berkompromi dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang cuai dalam menerbitkan apa-apa penerbitan yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam seperti diperuntukkan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” katanya hari ini.
KDN berkata, perbuatan menyiarkan Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit yang merupakan lambang kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan adalah satu kecuaian serius dan tidak sewajarnya dilakukan.
Selain itu, katanya, perbuatan itu juga bukan sahaja mencerminkan kelalaian profesionalisme, malah boleh mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.
“Jalur Gemilang bukan sekadar simbol, ia adalah lambang kedaulatan, perpaduan dan identiti nasional negara ini yang wajib dihormati dan dimartabatkan oleh semua pihak.
“Mana-mana pihak yang gagal mematuhi spesifikasi rasmi bendera seperti yang diperuntukkan di bawah Akta 414 boleh dikenakan tindakan berdasarkan undang-undang semasa yang berkuat kuasa,” katanya.
Sebagai kementerian yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, KDN tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat serta mengancam kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan negara. – KOSMO! ONLINE