PUTRAJAYA – Modus operandi dua buah pusat hiburan di ibu negara yang membenarkan wanita asing melayan pelanggan menggunakan ‘token’ selendang tumpas apabila diserbu imigresen semalam.
Serbuan dilaksanakan Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya di Medan Klang Lama dan Jalan Klang Lama. Dalam serbuan itu, seramai 31 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, ketika serbuan, seranai 69 individu terdiri daripada lima lelaki, 26 wanita asing dan 38 rakyat tempatan diperiksa.
“Hasilnya, seramai 31 terdiri daripada 14 warga Thailand, Bangladesh (2), Laos (7), Vietnam (7) dan Singapura (1 ) berusia 23 hingga 35 tahun ditahan.
“Antara kesalahan dikenal pasti adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, salah guna permit dan lain-lain kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, hasil risikan selama tiga hari mendapati premis hiburan tersebut beroperasi sejak dua bulan lalu.
“Modus operandi adalah dengan membenarkan kehadiran wanita asing sebagai pelayan setiap kali premis beroperasi dari pukul 3 petang hingga 2 pagi.
“Semasa serbuan, wanita asing tersebut leka melayan pelanggan warga tempatan dan pelancong asing,” katanya.
Tambahnya, pelanggan yang berpuas hati dengan layanan dan perkhidmatan wanita asing itu akan memberi token berbentuk selempang mengikut warna dan nombor bermula 100 hingga 5,000 yang disarungkan pelanggan kepada wanita pilihan mereka.
Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE