RAUB – Seorang ahli perniagaan dan pekerjanya masing-masing didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah membersihkan tanah kerajaan secara haram di Kampung Seberang Jelai, Lipis pada November lalu.
Tertuduh, Bong Jau Chong, 79, dan pemandu jengkaut, Chong Teck Kong, 62, turut berdepan hukuman penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda seperti yang diperintahkan Hakim Noor Aisah Mohamed.
Mahkamah turut memerintahkan semua jentera disita dan dilucut hak kepada kerajaan Pahang.
Menurut fakta kes, kedua-dua tertuduh melakukan kegiatan itu hasil risikan dan serbuan yang dijalankan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada pukul 3 petang, 21 November 2024.
Pemeriksaan mendapati tanah seluas 0.101 hektar itu dibersihkan menggunakan jengkaut tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa.
Siasatan lanjut mendedahkan Teck Kong menerima arahan daripada Jau Chong untuk membersihkan kawasan itu yang terletak bersebelahan lot tanah milik ahli perniagaan tersebut.
Namun, semakan dengan Pejabat Daerah dan Tanah Lipis dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia mengesahkan tanah itu merupakan tanah kerajaan dan tidak termasuk dalam mana-mana lot berdaftar. – KOSMO! ONLINE