KLANG – Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes penculikan remaja perempuan di Seremban pada 10 April lalu ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Bayu Tinggi, Bandar Bukit Tinggi di sini semalam.
Kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu berlaku selepas pasukan polis mengesan sebuah kereta jenis Proton Wira yang mana kenderaan itu dikesan telah digunakan dalam kes penculikan.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan mendapati kereta itu dipandu lelaki berusia 21 tahun yang merupakan antara individu terlibat dalam kes penculikan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di Avenue, Seremban pada pukul 5.45 petang, 10 April lalu.
Katanya, dalam kejadian semalam, pasukan polis cuba menahan kenderaan dipandu suspek, namun lelaki itu bertindak agresif termasuk melawan arus.

“Suspek juga telah melanggar kenderaan polis semasa dikejar dan berjaya dipintas sebelum berlaku kes berbalas tembakan sehingga suspek ditembak mati.
“Pemeriksaan awal mendapati si mati tidak mempunyai sebarang rekod lampau,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini semalam.
Beliau berkata, semakan lanjut mendapati kenderaan dipandu suspek telah digunakan ketika melepaskan mangsa culik sebelum ini.
“Kita turut merampas sepucuk pistol semi auto Colt dan parang dalam kereta itu,” katanya.
Mengulas lanjut, Fadil berkata, kumpulan penculik telah meminta wang tebusan sebanyak RM2 juta daripada keluarga mangsa.
“Mangsa kemudiannya telah dilepaskan di Nusari Bayu, Sendayan, Negeri Sembilan kira-kira pukul 8.30 malam pada 11 April lalu.

“Kumpulan suspek telah menerima bayaran tebusan sebanyak RM280,000 dan sejumlah barangan kemas,” katanya.
Susulan itu, katanya, polis telah menahan seramai enam lagi suspek lain termasuk tiga wanita berusia 20 hingga 31 tahun di sekitar Sendayan Negeri Sembilan
“Sejumlah RM230,000 wang tebusan berjaya ditemui semula dengan lain-lain rampasan masih dalam semakan pihak polis,” katanya.














