fbpx

‘Teringat nasihat Pak Lah, tertukar saya dengan Angkasawan Negara’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAZLEY terikenang kelucuan Pak Lah yang sering tertukar dirinya dengan Angkasawang Negara, Dr. Sheikh Muzszaphar.

PETALING JAYA – Terkesan dengan pemergian Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, penyanyi Datuk Fazley terkenang semula nasihat ungkapan Allahyarham kepadanya satu ketika dahulu.

Fazley nama lengkapnya Ahmad Fadzli Yaakob, 47, berkata negarawan dihormati ramai itu berpesan agar menjaga ibu bapa selain mengutamakan agama dalam kehidupan.

“Pak Lah sering ingatkan saya ‘hang jadi artis, kerjaya utama jangan tinggal. Mak ayah hang kena jaga, agama tetap diutamakan.

“Seraya menepuk-nepuk bahu saya, al-Fatihah buat pemimpin hebat kita,” katanya dalam hantaran Instagram.

Dalam masa sama, pelantun lagu Asmara Ini itu turut berkongsi kisah lucu apabila figura terhormat itu sering terkeliru antara dirinya dengan Angkasawan Negara iaitu Dr. Sheikh Muszaphar.

“‘Hang (awak) bila naik bulan lagi?’ Secebis kenangan yang sukar saya lupakan bersama Allahyarham Tun Abdullah Badawi ketika bersalaman dengannya.

“Dia sering keliru antara saya dan Angkasawan Negara, Dr. Sheikh Muzszaphar ketika itu.

“Bila arwah ayah saya betulkan Pak Lah (nama gelaran Tun Abddullah) ‘Yang Amat Berhormat, ini Fazley, anak saya, yang depan itu Sheikh Muszaphar’, kami semua terburai gelak berdekah satu baris di dewan WTC (World Trade Centre),” ujarnya.

Bapa kepada empat orang anak itu turut meluahkan kekagumannya dengan sambutan rumah terbuka Pak Lah yang sangat meriah berbanding acara lain yang diadakan di WTC suatu ketika dahulu.

“Ketika itu, saya bertugas selaku Pengarah Eksekutif di WTC selama hampir 10 tahun.

“Mengendalikan pelbagai acara antarabangsa dan tempatan, namun yang sering menjadi sejarah dan kenangan adalah ketika sambutan rumah terbuka Pak Lah, paling ramai menerima kunjungan tetamu.

“Hingga pasukan dapur WTC terpaksa membuat ‘adhoc’ dapur berbumbungkan khemah sementara bagi menyiapkan juadah hampir 250,000 orang. Bayangkan betapa kelam kabutnya kami,” ujarnya lagi.

Semalam, Abdullah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur akibat masalah pernafasan.

Jenazah selamat disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara Kuala Lumpur pada pukul 2.30 petang, hari ini.

Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, selain barisan pemimpin tertinggi negara dan negeri.

Turut kelihatan di sisi pusara Allahyarham ialah balu beliau, Tun Jeanne Abdullah, serta anak-anaknya Datuk Kamaluddin Abdullah dan Nori Abdullah, bersama menantu Allahyarham, Khairy Jamaluddin yang juga bekas Menteri Kesihatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI