PADANG BESAR – Seorang kontraktor wanita berputih mata apabila kerugian lebih RM1.4 juta selepas menjadi mangsa sindiket ‘phone scam’, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, mangsa berusia 68 tahun menerima panggilan daripada seorang individu menyamar wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 12 Mac lalu.
“Suspek memberitahu nombor telefon mangsa terlibat dalam kes penipuan bernilai RM200,000 sebelum panggilan disambung kepada seorang lelaki lain yang menyamar sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak.
“Lelaki itu kemudiannya memaklumkan kononnya nombor telefon mangsa terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah selain mendakwa menjumpai kad mesin juruwang automatik (ATM) atas nama wanita tersebut,” katanya di sini hari ini.
Katanya, mangsa kemudian diarahkan membeli kad sim dan membuka dua akaun bank kononnya bagi tujuan siasatan.
“Pada 13 Mac lepas, wanita itu diminta meninggalkan kad sim, kad ATM serta nombor pin di lokasi tertentu di Tasik Melati, Beseri,” ujarnya.
Katanya, empat hari kemudian, mangsa diarahkan melakukan 10 transaksi pindahan wang ke dalam akaun bank yang telah dibuka tersebut bermula 17 Mac lalu sehingga menyebabkan kerugian keseluruhan sebanyak RM1,448,000. – KOSMO! ONLINE