KUALA LUMPUR – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengucapkan takziah di atas pemergian Perdana Menteri Malaysia ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara sekitar pukul 7.10 malam tadi.
Beliau menyifatkan ia adalah satu kehilangan besar kepada negara.
“Kita kehilangan seorang tokoh negara. Takdir Allah dah sampai masanya. Jadi kita doakan supaya Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang soleh,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan duit raya kepada siswa, siswi, pelajar sekolah menengah dan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perantau Anak Pahang 2025, di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur, malam tadi.
Majlis tersebut dihadiri lebih 10,000 anak perantau kelahiran Pahang yang berada di luar negeri berkenaan.
Beliau berkata, kehadiran anak-anak Pahang ke majlis Aidilfitri di ibu negara kali ini di luar jangkaan dan melebihi sasaran.
“Saya jangka kehadiran seramai 5,000 ke 6,000, tapi kali ini (jumlahnya) sangat luar biasa. Saya minta maaf kerana makanan ada yang tidak cukup walaupun kita ada buat penambahan.
“Ini merupakan kali kedua majilis Aidilfitri diadakan untuk anak-anak perantauan di luar Pahang. Tahun depan kita cuba atur perancangan lebih rapi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE