PETALING JAYA – Kumpulan AmBank telah mendapat pengiktirafan dengan Anugerah Tempat Kerja Luar Biasa Gallup untuk Penglibatan Modal Insan daripada Gallup Inc yang
berpangkalan di Amerika Syarikat.
Pengiktirafan berprestij ini menyerlahkan komitmen Bank untuk memupuk persekitaran
kerja di mana pekerja berasa dihargai, terlibat dan diperkasa melalui
pelbagai program penglibatan dan pembangunan Bank untuk kakitangannya.
Kumpulan AmBank ialah satu-satunya institusi kewangan di Malaysia yang
menerima anugerah tersebut tahun ini, dan ini menandakan pengiktirafan
sulungnya daripada Gallup.
Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan AmBank, Tricia Lim berkata, pencapaian ini mencerminkan usaha berterusan pihaknya untuk menyepadukan penglibatan merentasi semua peringkat kitaran hayat pekerja.
“Di AmBank, kami percaya bahawa kakitangan kami adalah aset terbesar kami dan pengiktirafan ini mengukuhkan dedikasi kami untuk mewujudkan tempat kerja yang
berkembang maju, yang memacu kejayaan untuk kedua-dua pekerja dan
perniagaan kami.
“Anugerah ini benar-benar mengukuhkan kedudukan kami sebagai salah satu daripada majikan pilihan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Pengiktirafan oleh Gallup ini lebih bermakna di kala AmBank meraikan ulang
tahunnya yang ke-50 tahun ini yang mencerminkan budaya tenaga kerja
Bank yang kukuh berakar umbi, yang didorong oleh kakitangannya yang
bersemangat dalam mengejar kecemerlangan yang berterusan.
Gallup, firma analitik dan penasihat global, telah mengiktiraf tempat kerja
yang luar biasa sejak 2007.
Tahun ini, 70 organisasi di seluruh dunia telah diiktiraf dan Kumpulan AmBank berbangga menjadi sebahagian daripada kumpulan terpilih ini. -KOSMO! ONLINE