BIRMINGHAM – Aston Villa berada dalam keadaan cukup bersedia dan teruja menjelang aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara (UCL) menentang Paris Saint-Germain (PSG) di Stadium Parc des Princes awal pagi esok.
Mereka meraih semangat tambahan selepas membenam pencabar kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL), Nottingham Forest menerusi kemenangan tipis 2-1 di Villa Park Ahad lalu.
Justeru, kemenangan itu sangat penting buat Villa dalam usaha mereka untuk melakar kejutan ke atas PSG yang masih segar dengan kejayaan memenangi saingan Ligue 1 selepas menewaskan Angers.
Pengurus Villa, Unai Emery berkata, anak-anak buahnya akan memberikan segala-galanya dalam dua pertemuan itu nanti biarpun Villa hanya turun sebagai pasukan underdog jika dibandingkan dengan PSG.
“Pada ketika ini, seluruh pasukan berada dalam keadaan cukup bermotivasi dan teruja untuk aksi menentang PSG. Mereka merupakan pasukan pilihan, tetapi kami akan cuba yang terbaik dalam dua pertemuan itu nanti.
“Kami perlu melakukan persiapan sebaiknya serta melakukan analisis terhadap corak permainan mereka. Kami perlu cepat menyesuaikan diri dengan permainan mereka dan cuba mendominasi permainan menggunakan taktikal sendiri,” katanya.
Sebagai rekod, ini merupakan penampilan pertama Villa di pentas suku akhir Liga Juara-Juara sejak 1982 di mana mereka terpaksa akur gagal melangkah ke separuh akhir selepas tewas kepada Juventus.
Justeru, Emery yang merupakan bekas jurulatih PSG memiliki perancangan tersendiri bagi memastikan Villa dapat membawa pulang bekalan selesa menjelang aksi timbal balik di Villa Park minggu depan.
“Saya akan mempersiapkan pasukan untuk kedua-dua aksi suku akhir, jadi ia perlu dilakukan secara terperinci. Ada banyak perkara positif dalam pasukan yang boleh membantu kami untuk aksi tersebut,” ujarnya. – AGENSI