BERMULA semalam, dianggarkan lebih 2 juta kenderaan berada di atas jalan raya atas tujuan yang sama, iaitu kembali ke lokasi masing-masing selepas bercuti panjang.
Malah, pihak berkuasa turut menjangkakan tempoh 72 jam sehingga esok adalah kemuncak kepada ‘kepulangan’ beramai-ramai golongan perantau.
Daripada jumlah itu, lebih separuh perantau akan memulakan perjalanan pulang ke Lembah Klang sama ada untuk bekerja, belajar atau atas urusan lain.
Selain itu, peratusan tinggi juga dijangka berlaku melibatkan perjalanan ke selatan tanah air, manakala ada yang ‘melawan arus’ ke negeri-negeri di utara.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sama ada di Terminal 1 mahupun Terminal 2 turut dibanjiri orang ramai, khususnya perantau dari Sabah dan Sarawak.
Hakikatnya, suasana seperti ini, sama ada melibatkan perjalanan darat mahupun udara adalah fenomena biasa yang berlaku setiap tahun.
Anak-anak yang hidup merantau, tidak kira mereka dari kampung terpencil di Gua Musang, Kelantan, ataupun dari daerah pedalaman Keningau di Sabah, tujuan penghijrahan mereka adalah sama.
Mereka berkorban perasaan rindu, menghabiskan wang ringgit dan sanggup meninggalkan orang tersayang untuk satu tempoh yang panjang.
Semuanya dilakukan demi mencari rezeki, untuk isteri, anak-anak dan paling utama untuk orang tua yang sudah lanjut usia. Atas sebab itu, setiap saat pada hari cuti yang diluluskan, ia dianggap cukup berharga dan akan digunakan sebaiknya. Mungkin ada yang bernasib baik mendapat cuti yang agak panjang, namun ramai juga yang terpaksa berbahagi masa demi tuntutan dan amanah sebagai pekerja.
Lebih ‘malang’ lagi, ramai teman-teman kita tidak mendapat cuti, sebaliknya mereka perlu bekerja termasuklah ketika 1 Syawal yang lalu.
Orang kata, raya itu sebulan, tetapi nikmat Aidilfitri itu sebenarnya ada pada 1 Syawal. Ketika itu, kita akan berkumpul sambil melaungkan takbir raya beramai-ramai.
Selesai solat sunat Aidilfitri, kita saling bermaafan sebelum ke tanah perkuburan untuk menziarah mereka yang sudah meninggalkan kita. Menggambarkan sahaja suasana itu cukup indah, namun realiti hidup perlu dilalui. Kita perlu kembali ke jalur dan tujuan asal iaitu hidup sebagai anak perantau.
Bagi mereka yang masih bercuti atau baharu bercuti, nikmatilah setiap saat percutian itu. Dan bagi mereka yang kembali menjadi perantau, bekerjalah bersungguh-sungguh.
Paling penting, berhati-hati di jalan raya dan didoakan semoga kalian semua selamat sampai ke destinasi masing-masing. -KOSMO! ONLINE














