fbpx
Penduduk Taman Selat, Kuala Kedah mendakwa berhadapan masalah bekalan air terburuk pada Aidilfitri kali ini.

150 penduduk beraya tanpa air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Kira-kira 150 penduduk Taman Selat, Kuala Kedah, dekat sini terpaksa beraya dalam keadaan serba kekura­ngan ekoran terputus bekalan air sejak lapan hari lalu.

Penduduk terdiri daripada 29 keluarga itu mendakwa berhadapan dengan masalah tersebut sejak 11 tahun lalu.

Peniaga, Umar Hafifi Mohd. Muhsin, 46, berkata, masalah bekalan air pada tahun ini adalah yang paling buruk sehingga me­ngakibatkan sambutan Aidilfitri mereka suram.

“Sejak 11 tahun lalu, ini masalah yang kami hadapi namun raya tahun ini adalah yang terburuk. Sudah lapan hari tidak ada air, kami buat aduan kepada SADA (Syarikat Air Darul Aman) sejak beberapa hari lalu dan semalam baru mereka hantar air. Itu pun bukan semua penduduk dapat air.

“Macam mana nak beraya dan masak kalau tiada air sedangkan untuk basuh baju pun terpaksa pergi dobi. Air minum kena beli air mineral, memang tidak beraya kami tahun ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, penduduk terpaksa berbelanja sehingga RM1,000 untuk membeli tangki besar di luar rumah bagi menampung kegunaan mereka setiap hari.

“Air di sini memang kena catu. Kami terpaksa berjaga malam untuk tunggu air ada, kadang-kadang pukul 2 atau 3 pagi baru ada lepas itu tiada lagi. Hari raya ini tidak ada langsung.

“Kami tidak kisah kalau nak catu tetapi sebolehnya bagi ja­dual supaya kami boleh bersedia awal-awal dan tidak perlulah kami berjaga sehingga pagi nak tunggu air,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Malini Rosman, 47, memberitahu, mereka sekeluarga terpaksa menggunakan masjid dan stesen minyak berdekatan untuk urusan seha­rian termasuk mandi.

“Terpaksa suruh anak-anak mandi dekat masjid atau stesen minyak. Nak masak memang susahlah, memang tertekan sebab orang lain beraya kami tidak boleh buat apa.

“Terpaksa halang saudara nak datang beraya. Macam mana nak sediakan makanan dan minuman untuk mereka. Sudah 11 tahun kami berdepan isu ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN