KUANTAN – Seorang pekerja sebuah pusat kecantikan maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Ativa yang dipandunya terlibat dalam kejadian kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Batu 10 Jalan Gambang di sini malam semalam.
Kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu ialah SUV jenis Perodua Ativa, kereta jenis Proton Iswara dan kereta jenis Volkswagen Golf.
Mangsa, Nor Aspadora Azmi,24, yang memandu kenderaan jenis Perodua Ativa meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian kira-kira pukul 10.15 malam itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Gambang menghala ke bandar Kuantan.
“Apabila sampai di tempat kejadian, ketika pemandu kereta jenis Proton Iswara sedang membelok ke kanan dan kereta jenis Volkswagen Golf sedang membuat pusingan U tiba-tiba dipercayai kenderaan Perodua Ativa melanggar kereta jenis Proton Iswara sebelum terbabas dan melanggar kereta jenis Volkswagen Golf.
“Akibat kejadian kenderaan jenis Perodua Ativa telah terbalik di pembahagi jalan,”katanya di sini hari ini.
Tambahnya, akibat kemalangan pemandu Perodua Ativa meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua penumpang SUV berkenaan mengalami kecederaan.
Menurutnya mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.
Katanya siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan.
Ujarnya berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus dan semasa kejadian permukaan jalan rata dan jalan basah. – KOSMO! ONLINE