fbpx
ANTARA kediaman dan kenderaan yang rosak akibat kebakaran saluran gas di Putra Heights kelmarin. – AMIR KHALID

‘Kami hilang segala-galanya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUBANG JAYA – Beratus-ratus penduduk yang terjejas terma-suk kehilangan tempat tinggal dan harta benda susulan insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights kelmarin terpaksa melalui tempoh sukar untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

Menurut penduduk, mereka juga terpaksa bermula dari bawah untuk kembali bangkit membina kehidupan baharu selepas keja­dian yang tidak disangka-sangka itu menyebabkan jumlah kerugian yang sangat besar.

Setakat semalam, seramai 529 penduduk daripada 118 keluarga masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS), manakala 111 mangsa telah me­nerima rawatan di hospital.

Sejumlah 235 premis terma­suk rumah dan kedai terjejas dengan 87 unit musnah sepenuhnya, manakala 225 kende­raan pula rosak akibat terbakar.

Seorang penduduk, Che Afizy Che Mat, 40, berkata, dia dan keluarganya hanya sempat menyelamatkan diri sehelai sepinggang dalam kebakaran dan letupan saluran gas berdekatan kediamannya kelmarin.

“Dua buah motosikal kami terjejas dan bahagian belakang kereta juga rosak teruk. Kami tinggal menyewa jadi memang terasa kesannya.

“Haba panas menyebabkan cermin retak, siling rumah rosak selain bumbung pula runtuh. Kini, kami hilang segala-galanya,” katanya.

MASYUAN TAKBIR, 38, bersama anaknya Mohd. Ayyash Che Hafizi yang melecur akibat kebakaran saluran gas ketika ditemui di PPS Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights semalam. – SADDAM YUSOFF

Beliau berkata, kemusnahan kenderaan itu telah memberi kesan besar kepada kehidupan ha­rian keluarganya.

“Kalau anak sakit tengah malam, bagaimana hendak membawanya ke hospital? Tetapi saya pesan kepada keluarga supaya tidak risau. Insya-Allah, kerajaan akan bantu,” katanya.

Bagi Kamarudin Mad Rata, 55, pula, kebakaran itu bukan sahaja memusnahkan rumahnya, tetapi juga menjejaskan punca pendapatannya.

“Saya mempunyai tiga buah kereta yang rosak akibat kebakaran. Insurans hanya melindu­ngi cermin, tetapi bumbung yang cair serta bahagian lain perlu dibaiki sendiri. Saya hilang segala-galanya dan perlu bermula dari bawah semula,” katanya.

Bagaimanapun, dalam kesedihan dan keperitan yang dialami, mereka tetap bersyukur apabila kerajaan menghulurkan bantuan kewangan sebanyak RM2,500 hingga RM5,000 bagi meringankan beban sementara.

“Kami bersyukur atas bantuan yang diberikan, tetapi kos membaiki rumah, bumbung dan siling masih tinggi.

“Perkara pertama yang saya akan lakukan apabila menerima bantuan ini ialah membaiki kenderaan kerana ia keperluan asas untuk mencari rezeki dan menjalankan urusan harian,” katanya.

SEBAHAGIAN penduduk yang terjejas selepas kediaman mereka musnah akibat kebakaran saluran gas di Putra Heights kelmarin

Seorang lagi penduduk, Jalil Masari, 26, meluahkan rasa sedih selepas kediamannya musnah sepenuhnya, selain kehilangan sebuah kenderaan yang tidak sempat diselamatkan.

“Saya hanya sempat selamatkan satu kenderaan, tetapi rumah saya habis musnah. Semua barang di dalamnya juga tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Rakannya yang mahu dikenali sebagai Donavan, 37, berkata, dia mengalami kerugian besar apabila rumah dan kenderaannya musnah sama sekali tanpa sempat diselamatkan.

“Saya hanya mampu melihat rumah dan kereta saya hangus. Semuanya berlaku terlalu pantas, dan kami hanya sempat menyelamatkan diri,” katanya.

Mangsa-mangsa kini berharap agar bantuan segera dapat diberikan untuk meringankan beban mereka selepas kehilangan tempat berteduh dan harta benda dalam insiden tragis ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN