KE arah elektrifikasi dengan gaya elegan, sofistikated dan minimalis, itulah dipertaruhkan (EV) Q8 e-tron yang diilhamkan Audi.
Kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik bersaiz sederhana ini amat praktikal untuk penggunaan urban dan telah dinaik taraf dengan teknologi terkini serta termaju.
Q8 e-tron menampilkan reka bentuk aerodinamik efisien dan rangkaian kuasa yang telah dioptimumkan dengan prestasi pengecasan lebih baik.
Baru-baru ini, PHS Automotive Malaysia (PHSAM) sebagai pengedar rasmi jenama Audi di Malaysia telah memberi peluang kepada penulis memandu uji Audi Q8 e-tron Advanced 50 Quattro terbaharu.
Jika anda mahukan sesuatu kelainan, model elektrik daripada Audi ini amat sesuai dan pemanduannya amat selesa serta mudah seperti menggerakkan kenderaan pembakaran dalaman (ICE) atau kereta petrol.
Dari segi rekaan luaran, Q8 e-tron 50 masih lagi menggunakan imej korporat Audi Single Frame Grille, namun untuk SUV elektrik ini jeriji depan dilingkari dengan rekaan krom hitam berkilat.
Walaupun ia sebuah EV, rekaannya tidak terlalu futuristik sesuai untuk pengguna dalam kalangan profesional yang mahukan gaya sederhana tetapi menyokong kenderaan emisi sifar karbon.
Rekaan bampar depan serta lampu depan Q8 e-tron berbentuk garisan tajam dan sisinya sedikit berkontur yang diperkemas dengan rim aloi Graphite Gray bersaiz 20 inci menampakkan gaya sofistikated.
Dimensi kenderaan ini berukuran panjang 4,915 milimeter (mm), lebar 1,937mm, tinggi 1,633mm dan jarak antara roda ialah 2,928mm.
Saiz Q8 e-tron berada di tengah-tengah antara Mercedes Benz EQC yang kecil sedikit dan juga BMW iX yang lebih besar.

Dari segi kuasa, model ini menggunakan bateri berkapasiti 95kWh dan boleh mencapai jarak gerak sehingga 491 kilometer (km) dengan pengecasan penuh.
Ia boleh menyokong pengecasan AC 11kW yang mengambil masa 9 jam 15 minit untuk mengecas dari 0 hingga 100 peratus.
Sementara itu, untuk pengecasan pantas DC 150kWh memerlukan masa hanya 28 minit untuk pengecasan 10 hingga 80 peratus.
Q8 e-tron 50 ini mampu menjana kuasa sehingga 340PS (250kW) dan tork tertinggi 640Nm dengan pecutan terpantas dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 6 saat.
Berbanding kereta EV lain, Audi menawarkan sistem gear dua ratio dalam satu gear set untuk penggunaan tenaga yang lebih efisien bagi model ini.
Sepanjang memandu jentera ini, penulis dapati pecutan yang dihasilkan oleh Q8 e-tron adalah lebih lembut dan tidak agresif walaupun pedal telah ditekan had laju maksimum 180 km/j.
Bagi pemandu wanita seperti penulis, Q8 e-tron amat mudah dikendalikan yang pecutannya selari dan brek regeneratif model ini amat responsif.
Mungkin jika anda baru membeli EV, anda suka menikmati pecutan keras setiap masa, namun pecutan agresif yang kerap akan mengurangkan jarak pemanduan.
Bagi meningkatkan lagi pengalaman pemilikan, model ini didatangkan dengan e-tron Charging System Compact mudah alih untuk memberi kemudahan mengecas di mana-mana sahaja.
Sistem itu terdiri daripada satu unit pengecas kompak pintar dengan kabel iaitu dipasang sahaja pada kereta dan ke soket standard di rumah dengan output 1.8kW hingga 2.3kW atau menerusi bekalan kuasa tiga fasa yang mempunyai output 11kW. Jadi kebanyakan masa, penulis lebih selesa mengecas EV ini di rumah pada waktu malam.
Pengguna juga boleh menetapkan mod pemanduan seperti allroad, efficiency, comfort, auto dan dynamic.
Setiap kali penulis menukar mod pemanduan, Q8 e-tron akan menukar tetapan ketinggian kenderaan dengan sistem ‘air suspension’.
Penggunaan Adaptive Air Suspension menawarkan prestasi yang cukup seimbang dan stabil pada had laju tinggi selain kurang olengan ketika mengambil selekoh.
Sekiranya memandu pada had laju sederhana lebih kurang 80 km/j, kenderaan ini akan ‘recharge’ secara automatik sekali gus mengurangkan ‘range anxiety’ jika bateri kereta sudah berkurangan.
Meninjau ke ruangan kabin, rekaannya minimalis tetapi nampak mewah dengan fabrik kerusi pemandu dan penumpang daripada jenis kulit ‘mono.pur 550’ warna gelapnya amat selesa.
Penulis tertarik dengan gear Q8 e-tron 50 terbaharu ini yang masih diletakkan di ruang konsol tengah tetapi dengan tambahan perehat tangan memudahkan gear dilaraskan.
Selain itu, ia dilengkapi siatem infotainment dengan ketersambungan Apple CarPlay tanpa wayar serta Audi Connect Navigation dan head-up display.
Dari segi aspek keselamatan, Audi Q8 e-tron juga ditawarkan dengan sistem lengkap dan terkini merangkumi lapan beg keselamatan udara, sistem Audi Pre-Sense yang merangkumi brek AEB di depan dan belakang, kamera 360 darjah dan sistem amaran papan tanda yang akan menghantar isyarat memperlahankan kelajuan apabila menghampiri selekoh.
Audi Q8 e-tron Advanced 50 Quattro dijual di pasaran pada harga RM374,290 yang datang bersama Pakej Jaminan Audi (Audi Assurance Package) yang menawarkan jaminan tambahan dan penyelenggaraan selama tiga tahun dengan selang servis 15,000km.
Konklusinya, penulis merasakan SUV elektrik Q8 e-tron ini amat berbaloi untuk dimiliki dengan sistem keselamatan ditawarkan terutama bagi pengguna yang mahukan EV lain dari jenama di pasaran.
Tidak banyak EV yang menawarkan pakej lengkap teknologi terkini dengan gaya sofistikated dan mewah. Tepuk dada tanya selera.














