fbpx
GAMBAR HIASAN. Foto oleh FAUZI BAHARUDIN

Ramadan didik tahan hawa nafsu, rokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAMADAN bulan yang penuh keberkatan membawa seribu rahmat buat umat Islam. Ia bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, malah menjadi ruang untuk meningkatkan amal ibadah dan mendidik jiwa menjadi insan lebih bertakwa.

Pada bulan puasa, terdapat banyak bazar yang menawarkan pelbagai juadah untuk berbuka. Namun, di sebalik nikmat berbuka dengan makanan enak, ada kelompok yang memilih asap sebagai santapan pembuka.

Anehnya di siang hari golongan ini mampu bertahan selama berjam-jam, namun saat azan maghrib berkumandang, mereka mula mencari rokok.

Menurut Pensyarah Fiqh Fatwa Semasa, Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim, perkara itu berkait rapat dengan sikap dan disiplin individu itu sendiri.

“Allah tidak akan mengubah nasib satu-satu manusia, kecuali mereka sendiri yang mengubah diri sendiri. Sebenarnya Ramadan mendidik kita semua untuk menahan nafsu termasuklah ketagihan rokok.

“Tetapi malangnya, ramai yang tidak istiqamah selepas berbuka. Mereka kalah dengan godaan nikotin, mereka memilih untuk memulakan malam yang penuh keberkatan dengan sesuatu yang diharamkan fatwa.

“Hukum merokok bukan lagi satu perbahasan. Fatwa telah dikeluarkan, rokok diharamkan kerana kemudaratannya yang lebih besar berbanding manfaat,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Izhar berkata, meninggalkan rokok bukan hanya sebab-sebab kesihatan, tetapi ia juga merupakan satu bentuk jihad melawan hawa nafsu.

Jelasnya, setiap perkara haram yang dilarang Islam, kita dituntut untuk melawannya. Ia merupakan jihad iaitu menolak perkara mungkar dan kemudaratan.

“Adalah penting bagi umat Islam mengambil semangat Ramadan untuk mendidik diri meninggalkan perkara yang haram, bukan hanya sepanjang bulan ini (puasa), tetapi selepas ini (bulan biasa),” katanya.

Izhar berkata, Islam bukan hanya menekankan aspek ibadah, tetapi juga menjaga kebersihan dan kesihatan diri.

“Islam tidak mudah mengharamkan sesuatu perkara tanpa sebab yang kukuh. Fatwa pengharaman rokok dibuat setelah kajian mendapati kesannya yang amat buruk kepada kesihatan, bukan sahaja kepada perokok, tetapi juga orang di sekeliling.

“Rokok membawa lebih banyak keburukan. Ia bukan sahaja membazirkan wang, malah mengundang pelbagai penyakit kronik. Jika sesuatu perkara itu membawa mudarat, hukumnya jelas haram,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN