Dunia memancing ini sebenarnya membuka pelbagai kesempatan untuk mencari rezeki bagi sesiapa yang pandai mengambil peluang terhidang. Pada masa sama, hasil usaha dan kreativiti seseorang boleh diketengahkan dan dipertingkatkan supaya dapat pergi lebih jauh.
Sekarang bukanlah masanya hendak mengatakan produk memancing buatan luar negara seperti Amerika Syarikat, Eropah atau Jepun itu yang terbaik. Ini kerana, sudah ramai anak tempatan kita sudah boleh bersaing dengan menghasilkan produk yang lebih kurang sama kualiti atau lebih baik berbanding produk luar negara.
Seorang usahawan yang menghasilkan kepingan gewang besi (jig) buatan sendiri dengan jenama Assassin Jig, Faizul Mat Nor atau lebih mesra dipanggil Ijoe.

Seperti biasa, ada jig yang dimakan ikan dan ada yang tidak. Ini telah menyebabkan dia berusaha memperbaiki kelemahan yang timbul seperti saiz, berat dan warna jig sehinggalah jumpa formula bersesuaian untuk menghasilkan jig ampuh, terbaik serta efektif untuk menjerat ikan.
Dari suka-suka, timbul pula idea berkongsi kejayaan jig buatannya kepada rakan-rakan rapat untuk mencuba dan melaba hasil yang baik. Ini bermakna jig buatannya terbukti efektif.
Dari mulut ke mulut, jig buatannya menjadi perbualan dan ramai pemancing mula memesan untuk mencuba di perairan masing-masing.

Dengan maklum balas positif daripada pelanggan bersama bukti pelbagai spesies ikan yang dinaikkan dengan jig itu seperti tenggiri, ebek, jenahak dan kerapu telah membuatkannya serius membuat jig dengan lebih banyak.
Pada awal pembabitannya, dia pernah menemui jalan buntu dan hampir mengalah, namun dia gagahkan diri untuk terus berusaha. Keluarganya menjadi dorongan untuk dia terus berusaha.
Faizul sanggup mengeluarkan modal yang banyak untuk membeli pelbagai peralatan seperti penyembur angin (air brush), acuan jig yang ditempah khas dari Indonesia, pemanas dan pelbagai lagi alatan semata-mata untuk mendapatkan hasil terbaik.
Sekarang Assassin Jig mula dikenali ramai pemancing dan ia mula dijual di kedai peralatan memancing.
Faizul berharap suatu hari nanti, Assassin Jig akan memasuki pasaran di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.














