KUALA LUMPUR – Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai meneruskan rentak kemenangan pada Kejohanan Badminton All England selepas melayakkan diri ke pusingan suku akhir.
Pada aksi pusingan kedua di Utilita Arena, Birmingham sebentar tadi, pilihan utama kejohanan itu tidak berdepan banyak masalah apabila mudah menewaskan beregu Scotland, Alexander Dunn-Julie MacPherson 21-9, 21-10.
Menjadi satu-satunya wakil tunggal Malaysia dalam acara tersebut menyebabkan Soon Huat-Shevon menampilkan aksi cukup agresif seawal set pertama dengan melakukan serangan bertali arus ke arah pemain lawan.
Kemenangan itu menyaksikan pasangan No.3 dunia berkenaan memperbaiki pencapaian pada edisi tahun lalu di mana mereka tersingkir di pusingan kedua selepas tewas kepada Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China.
“Perlawanan hari ini berjalan cukup lancar untuk kami berdua dengan permulaan yang baik di set pertama. Saya gembira kerana kami dapat kekalkan rentak konsisten di set kedua dan bermain lebih stabil.
“Cabaran sukar menanti kami esok dan hanya perlu bersedia sebaiknya. Kami pernah jumpa mereka sebelum ini dan tahu sedikit sebanyak kekuatan serta kelemahan mereka, jadi perlu manfaatkannya,” kata Shevon kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Menanti Soon Huat-Shevon di suku akhir esok adalah gandingan China, Jiang Zhen Bang-Dong Ping yang menyingkirkan beregu Taiwan, Lu Ming Che-Hung En Tzu menerusi kemenangan straight set 21-13, 21-17.
Pasangan suami isteri itu terus menjadi sandaran Malaysia bagi meneruskan misi pada kejohanan Jelajah Dunia Super 1000 itu selepas beberapa beregu campuran negara yang lain terkandas di pusingan pertama. – KOSMO! ONLINE