fbpx

Air Sungai Jelai keruh luar biasa, pengusaha ikan sangkar bimbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengusaha ikan sangkar Sungai Jelai menangkap ikan di sangkar yang dipenuhi lumpur dan keruh.

LIPIS – Seorang pengusaha ikan sangkar Sungai Jelai di Kampung Ganding, Mukim Cheka di sini terkejut apabila mendapati air sungai itu berubah keruh dan berlumpur pagi tadi.

Khairol Anuar Ahmad Maher, 39, berkata, perubahan luar biasa itu dipercayai berpunca daripada kejadian kepala air yang berlaku di hulu sungai.

“Untuk tahun ini, ini adalah kali pertama air menjadi sebegini keruh. Sebelum ini memang ada kekeruhan tetapi tidak seteruk hari ini.

“Alhamdulillah, setakat ini tiada ikan yang mati. Walau bagaimanapun saya akan memantau keadaan air sungai dari semasa ke semasa kerana bimbang ia mampu menjejaskan operasi penternakan ikan sangkar yang saya usahakan ini,”katanya di sini, hari ini.

Tambahnya, bagi mengelakkan risiko kematian ikan, dia tidak memberi makanan kepada ternakan buat sementara waktu kerana lumpur yang melekat pada makanan boleh menjejaskan ternakan.

“Makanan yang bercampur lumpur boleh menyebabkan insang ikan tersumbat dan akhirnya mengakibatkan kematian.

“Buat masa ini, saya hanya menunggu keadaan air kembali jernih sebelum memberi makanan kepada ikan semula,”katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI