Meskipun Lembaga Zakat Selangor (LZS) mencatatkan kutipan RM1 bilion bagi tiga tahun berturut-turut, namun ia tidak membuktikan kejayaan mutlak agensi tersebut.
Ini kerana dianggarkan lebih 1 juta pembayar zakat yang layak didapati masih liat dengan melihatnya sebagai amalan sukarela, bukannya kewajipan agama dan tanggungjawab sosial.
Sentimen dan mentaliti segelintir asnaf juga perlu diubah agar tidak terus ‘bersujud’ meminta bantuan semata-mata tanpa berusaha untuk mengubah nasib mereka.
Bagi mengupas isu tersebut, wartawan Kosmo! Ahad, Mohd. Yunus Yakkub menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini termasuk mendapatkan penjelasan sejauh mana zakat boleh memainkan peranan dalam kerangka agenda persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) dan membantu syarikat mencapai keseimbangan antara keuntungan dan tanggungjawab sosial.

Dalam sesi temu bual itu, Mohd. Sabirin turut berkongsi bantuan dan syarat ke atas ahli-ahli GIBSH yang terkesan.
KOSMO! AHAD: Berapa ramai bilangan asnaf di Selangor dalam tempoh tiga tahun ini?
MOHD. SABIRIN: Berdasarkan statistik, berlaku peningkatan setiap tahun dengan 2022 merekodkan 61,300 keluarga, 2023 (65,700) dan 2024 (73,500).
Ini menunjukkan keperluan untuk perancangan dan inisiatif berterusan dalam menangani isu kemiskinan seterusnya memastikan kebajikan asnaf.
Sempena Ramadan, berapa agihan bantuan disalurkan kepada golongan asnaf fakir, miskin dan mualaf?
Sebanyak RM35.3 juta diagihkan kepada 75,207 ketua keluarga yang layak bagi membantu mereka membuat persiapan Ramadan dan Syawal. Sebelum itu, LZS memperuntukkan agihan sebanyak RM36.4 juta bagi membiayai persiapan persekolahan kepada seramai 70,588 penerima pada awal tahun ini.
Difahamkan, LZS melancarkan Rakan Affiliate Dakwah Kutipan Zakat (Radiuz). Bagaimana sambutannya?
Radiuz merupakan inisiatif LZS dengan menyasarkan mereka berusia 18 tahun yang mempunyai akaun media sosial aktif, menjadi ejen pemasaran bagi mempromosi produk dan perkhidmatan LZS kepada masyarakat.
Pada peringkat awal, kami menggunakan pempengaruh yang mempunyai ramai pengikut. Secara idealnya, jika seorang pempengaruh mempunyai 100,000 pengikut dan 10 peratus daripada mereka membayar zakat, maka 10,000 orang menunaikan zakat. Lebih-lebih lagi pada zaman sekarang, generasi muda lebih cenderung trend suka, kongsi dan tekan loceng.
Secara tidak langsung ia membantu LZS menyebarkan dakwah zakat kepada khalayak secara lebih meluas dan mampu meningkatkan kepercayaan apabila maklumat zakat disebarkan oleh rakan-rakan yang dikenali.
Siapa yang dilantik dan jumlah kutipannya?
Program ini baru diperkenalkan pada Disember lalu dan kita melantik pempengaruh seperti Nazri Hamdan, Ahmad Faiz Azmi (Financial Faiz) dan Ahmad Izzhar Ahmad Nazri atau Dai’ Izzhar. Setakat ini, lebih RM100,000 kutipan zakat berjaya diperoleh.
Adakah semangat untuk bayar zakat masih rendah?
Saya berpandangan kesedaran dan minat mengenai zakat perlu dipupuk. Masih ramai yang mengenali zakat fitrah, tetapi kurang pendedahan mengenai zakat secara menyeluruh.
Dengan adanya kemudahan maklumat di hujung jari, kita digalakkan untuk mendalami ilmu zakat sebagaimana mencari maklumat lain yang penting dalam kehidupan seperti persediaan menunaikan haji.
Sedangkan zakat itu merupakan salah satu daripada lima Rukun Islam. Limpahan maklumat, kempen, produk zakat, aktiviti ziarah, hukum syariah, program kejayaan asnaf dan lain-lain sentiasa dikongsikan di pelbagai platform. Ia sama ada melalui kaedah tradisi secara fizikal di masjid dan surau, media elektronik dan cetak sehingga hampir semua kaedah media sosial, namun masih lagi ada yang tidak tahu atau perasan mengenai zakat dan agihannya.
Difahamkan LZS berjaya kutip lebih RM1 bilion?
Dalam tempoh dua tahun ini (2022-2023), LZS berjaya mencatat kutipan sebanyak RM1 bilion. Walaupun jumlah ini nampak besar, ia hanya melibatkan kira-kira 400,000 penduduk Muslim yang layak membayar zakat di Selangor. Berdasarkan anggaran, jumlah pembayar zakat yang layak adalah 1.47 juta orang.
Jika lebih ramai menyertai usaha ini, potensi kutipan boleh meningkat kepada RM4 bilion.
Ini menunjukkan masih banyak ruang untuk kita tingkatkan kesedaran dan tanggungjawab dalam menunaikan zakat.
Dari segi program pula, adakah usaha membawa keluar asnaf daripada belenggu kemiskinan ini berjaya?
Matlamat kami bukan sekadar memberi bantuan kelangsungan, tetapi juga membantu asnaf membina kerjaya stabil. Dengan pekerjaan dan pendapatan lebih baik, mereka dapat keluar daripada kelompok asnaf.
Pada 2024, seramai 957 asnaf menyertai program pembangunan Inisiatif Kerjaya Asnaf (iKerjaya). Namun, jumlah ini masih di bawah sasaran, memandangkan terdapat lebih 70,000 asnaf di Selangor.
Daripada jumlah itu, 30 peratus adalah ketua keluarga berusia 30 hingga 40 tahun, golongan yang masih dalam usia produktif dan berpotensi dibantu.
Program-program keusahawanan juga dilihat berjaya ‘memerdekakan’ asnaf melalui bimbingan dan bantuan modal permulaan serta modal perkembangan perniagaan. Seramai 100 usahawan berjaya keluar daripada kemiskinan melalui inisiatif tersebut.
Apakah yang dilakukan LZS bagi memastikan mereka keluar daripada asnaf?
Kalau tidak boleh ibu bapa, kami sasarkan anak-anak mereka terutama melalui bantuan pendidikan. LZS menyediakan bantuan pendidikan bermula dari sekolah rendah, menengah hingga ke institusi pengajian tinggi (IPT) pun dibantu.
Jadi, tiada alasan untuk tidak menyambung pelajaran. Tidak minat akademik, boleh ambil Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET). Bilangan pelajar IPT tajaan LZS tahun lalu berjumlah lebih 3,000 orang.
Peranan LZS dalam membantu pemulihan mereka yang terkait GISB Holding (GIBSH)?
Secara umum, tiada kategori bantuan khusus dengan ‘kod GISBH’, namun kita bantu seperti penerima zakat lain iaitu melalui bantuan makanan dan kewangan bulanan, sewa rumah dan kalau hendak produktif menerusi bantuan kerjaya serta usahawan. Syaratnya, ahli-ahli GISBH telah melalui program pemulihan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Kalau tidak, kita berikan bantuan kecemasan sebanyak RM100 hingga RM500 secara one off.
Dimaklumkan LZS kini mengorak langkah menjadi perintis kepada pelaksanaan konsep zakat dalam prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). Boleh dijelaskan?
Dari segi global, banyak syarikat kini mengetengahkan ESG dan pelaksanaannya melalui matlamat pembangunan mampan (SDG) yang mempunyai 17 matlamat pembangunan mampan (SDGs) kumpulan matlamat.
Laporan berkaitan SDG ini adalah wajib bagi setiap syarikat tersenarai awam (PLC) atau tersenarai dalam pasaran bursa.
Sekarang ini, syarikat-syarikat ini mengeluarkan wang bagi tujuan tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti penanaman semula pokok untuk alam semula jadi, pembekalan tenaga bersih dan sebagainya.
Sebenarnya ESG boleh digunakan melalui pembayaran wang zakat. Ini dapat mengoptimumkan peruntukan dana lain yang dirancang. Kalau sudah bayar zakat tak perlu keluarkan duit lain bagi tujuan CSR.














