JOHOR BAHRU – Dua pelajar dari Johor yang sedang mengikuti pengajian dalam bidang Fiqh wa Usul di Universiti Mu’tah, Jordan terlibat dalam kemalangan di negara itu, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, kedua-dua pelajar terbabit ialah Muhammad Zaqwan Azhar Masjudin dan Muhammad Ilham Dzurlkarnian @ Zulkarnian.
Menurutnya, dua lagi mangsa ialah pelajar dari Selangor dan Wilayah Persekutuan.
“Difahamkan kedua-dua pelajar pelajar tahun pertama dalam bidang Fiqh wa Usul di Universiti Mu’tah, Jordan berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
“Bagaimanapun, seorang pelajar dari Wilayah Persekutuan kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala seorang lagi pelajar dari Selangor juga dilaporkan stabil,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Mohd. Fared menzahirkan rasa simpati terhadap kejadian itu dan berharap semua pihak dapat mendoakan kesihatan serta keselamatan mereka yang terlibat.
“Kerajaan negeri akan membantu berdasarkan keperluan mereka di sana mengikut nasihat Pegawai Atase Pendidikan kita di Kedutaan Mesir yang juga bertugas menyelia pelajar Johor di Jordan.
“Orang ramai diseru agar sama-sama mendoakan agar keempat-empat pelajar ini diberikan kesembuhan dan dapat meneruskan pengajian seperti biasa,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE