SELEPAS poster, drama Keluarga Itu yang ditayangkan sejak 28 Februari lalu sekali lagi hangat menjadi bahan bualan ramai.
Drama arahan Nur Ain Sharif, Ejump Mohd dan Amor Rizan itu mendapat sambutan ramai susulan jalan cerita berkisarkan isu kekeluargaan yang jarang diketengahkan dalam naskhah tempatan.
Paling membuatkan penonton sesak dada adalah watak Iman lakonan Datuk Rosyam Nor yang sanggup mencabul anak perempuannya demi memuaskan nafsu.
Sementara itu, Puteri Balqis yang membawa watak Dhamiah pula meraih pujian kerana berjaya mencetuskan rasa simpati dan kebencian dalam kalangan penonton.
“Jijik betul dengan watak Rosyam tapi realitinya memang wujud keluarga begini, nampak indah luaran tapi dalaman sangat teruk.
“Tak sempat bernafas tengok setiap babak, sakit hati dan jiwa. Karya Erma Fatima memang tak pernah mengecewakan,” puji netizen.
Selain Rosyam dan Puteri Balqis, karya cetusan idea Erma Fatima itu dibintangi Datin Paduka Umie Aida, Amir Ahnaf, Fattah Amin, Muaz Zabir, Izara Aishah, Duerra Mitilda dan Melissa Campbell.