PETALING JAYA – “Kawasan Tuaran (kepada) yang mahu makan laksa Penang. Awas, terbeli laksa kuah jernih macam saya.”
Itu perkongsian seorang peminat laksa Penang yang ‘terkena’ selepas membeli juadah berkenaan di sebuah gerai di bazar Ramadan di Tuaran, namun terkejut apabila mendapati kuahnya terlalu cair dan hampir tiada warna.
Menggunakan nama Rosline Kader di media sosial, wanita itu berkata, dia hanya menyedari ‘keadaan’ kuah laksa tersebut selepas membuat bayaran.
“Saya peminat laksa Penang sebab kakak selalu masak kuah pekat, terasa isi ikan yang kena kisar dengan bau daun kesum dan bunga kantan. Sedap, tapi yang ini jernih.
“Tau sudah nampak jernih, kenapa beli juga? Begini, lepas bayar baru dia keluarkan kuah dari bawah meja dan goncang dan baru nampak jernih. Jadi, takkan batalkan (beli) juga. Kasihan la penjual tu,” katanya.
Namun begitu, individu tersebut masih cuba berfikiran positif dan bertanya sama ada wujud laksa yang berkuah sejernih di luar sana.
“Atau, ada versi kuah laksa Penang jernih?” soalnya. – KOSMO! ONLINE