PENDANG – Cuaca panas terik yang melanda daerah ini sejak kelmarin memaksa seorang kontraktor mengubah jadual kerja pekerja kontrak, selain menggajikan tenaga kerja bukan Islam pada Ramadan ini.
Kontraktor, Izham Ahmad, 31, berkata, pekerja kontrak yang membaiki jalan di Jalan Bukit Jenun-Pendang, di sini keluar bekerja pukul 7 pagi, berbanding 9 pagi sebelum ini.
“Saya mengarahkan mereka keluar lebih awal kerana tak mahu mereka terdedah dan berada lebih lama di bawah terik mentari, seterusnya terdedah kepada risiko strok haba,” katanya di sini semalam.
Katanya, dia juga terpaksa mengeluarkan modal lebih bagi membayar tenaga kerja warga asing bukan Islam untuk membantu menyiapkan kerja-kerja yang sedang dijalankan.
Selain itu kata Izham, dia juga terpaksa menambah bekalan minuman untuk pekerja bukan Islam kerana bekerja di bawah panas melampau itu memerlukan banyak air untuk hilangkan dahaga.
“Saya juga turut memastikan 11 pekerja di bawah saya agar memakai pakaian bersesuaian dan topi keselamatan sepanjang masa agar kurang terdedah kepada cuaca panas sekarang,” katanya.
Seorang pekerja dikenali sebagai Raju berkata, cuaca panas ketika ini menyebabkan dia dan rakan mudah keletihan walaupun minum air yang banyak.
“Cuaca agak panas sehari dua ini dan kami perlu menjaga kesihatan memandangkan proses menurap jalan lebih mudah dilakukan apabila cuaca panas,” jelasnya.
Sementara itu Pegawai Operasi Balai Bomba Pendang, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Arizal Mahmud berkata, walaupun cuaca panas melampau pihaknya tetap menugaskan anggota seperti biasa dan dalam keadaan sentiasa bersiap siaga.
“Kita lebih banyak menumpukan aktiviti meningkatkan kemahiran dan peralatan kebakaran kerana bimbang kebakaran mudah berlaku dalam keadaan panas seperti sekarang.
“Tugas kita memerlukan kesiapsiagaan penuh terutama dalam menghadapi cuaca panas melampau sekarang,” katanya sehingga sekarang tiada kes kebakaran serius berlaku.














