fbpx

Zaim, Ismanira gagal batal pertuduhan abaikan Zayn Rayyan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zaim dan Ismanira keluar selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. FOTO SADDAM YUSOFF/ KOSMO!

SHAH ALAM – Pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf gagal untuk membatalkan pertuduhan mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matin selepas permohonan mereka ditolak Mahkamah Tinggi hari ini.

Hakim Roszianayati Ahmad memutuskan demikian selepas mendapati tiada kecacatan dalam pertuduhan dikemukakan itu.

Tegasnya, pertuduhan tersebut memiliki intipati kepada kesalahan yang dihadapi oleh tertuduh.

“Ia adalah kehendak undang-undang bagi membolehkan pemohon -pemohon mendapat notis yang mencukupi untuk menjawab pertuduhan.

“Pihak pendakwaan mempunyai beban bagaimana membuktikan cara pengabaian itu melalui keterangan-keterangan yang akan dikemukakan,” katanya hari ini.

Jelas Roszianayati, pertuduhan juga jelas menjuruskan objektif iaitu pemohon didakwa mengabaikan anak mereka dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001.

Justeru, perbicaraan terhadap pasangan tersebut diteruskan seperti biasa pada 11 Mac ini seperti ditetapkan Mahkamah Sesyen pada 21 Februari lalu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin selaku responden menjelaskan pertuduhan yang didakwa ke atas kedua-dua pemohon adalah jelas, tidak kabur dan tidak defektif.

Dalam pada itu, salah seorang peguam yang mewakili pasangan itu, H. Lavanesh ketika ditemui di luar mahkamah memaklumkan keputusan tersebut boleh dirayu di peringkat Mahkamah Rayuan.

Zaim Ikhwan dan Ismanira masing-masing berusia 30 tahun memfailkan notis usul bagi membatalkan pertuduhan itu pada 21 Januari lalu sekali gus memohon dilepas dan dibebaskan.

Sebelum ini, berdasarkan dokumen notis usul dan afidavit sokongan Zaim Ikhwan dan Ismanira mendakwa pertuduhan yang dikenakan tidak mendedahkan sebarang kesalahan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI