MENJADI seorang doktor perubatan merupakan cita-cita Azwani Shafiqah Atham Malik, 23, sejak kecil lagi.
Untuk itu, dia berusaha keras dan kini sedang mengikuti program Ijazah Doktor Perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Sejak kecil lagi saya memang bercita-cita untuk menjadi seorang doktor. Pada waktu itu, ibu saya banyak mendedahkan saya kepada bidang sains.
“Malah, pada usia tujuh tahun, saya sudah mula menghafal nama-nama tulang dalam badan manusia dengan bimbingan abang saudara yang juga merupakan seorang doktor.
“Bermula dari situ, minat saya dalam bidang perubatan semakin mendalam,” katanya yang berasal dari Johor Bahru, Johor.
Azwani Shafiqah yang kini merupakan pelajar tahun empat mengakui bahawa terdapat cabaran tersendiri yang perlu dihadapi apabila memilih untuk mendalami bidang perubatan.
Sepanjang dua tahun pertama, pelajar lebih banyak mendalami konsep dan teori.
“Saya mula merasakan cabaran sebenar ketika berada di tahun ketiga pengajian yang mana kami sebagai pelajar perubatan mula menjalani latihan klinikal di hospital.
“Kami banyak berjumpa dengan pesakit dan cabarannya ialah setiap pesakit mempunyai keadaan yang berbeza. Apa yang kita pelajari dalam teori tidak semestinya dapat dilihat secara langsung pada pesakit.
“Komunikasi dengan pesakit juga merupakan salah satu aspek yang sangat penting dalam bidang ini,” jelasnya.

Sementara itu, Azwani Shafiqah turut berkesempatan untuk menjalani program ‘clinical attachment’ di Jabatan Pembedahan Jantung, University of Pecs, Hungary selama sebulan pada tahun lalu.
Melalui program tersebut, dia diberi pendedahan khususnya tentang rawatan dan pembedahan jantung.
“Selain memerhati prosedur dan pembedahan jantung di dalam dewan bedah, saya turut diberi peluang untuk menjahit luka pada pesakit serta menyentuh jantung yang masih berdegup. Itu merupakan satu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan.
“Meskipun tempoh program ini hanya sebulan, ilmu dan pengalaman yang saya perolehi sangat bernilai,” ujarnya.
Azwani Shafiqah berterima kasih kepada Fakulti Perubatan UKM yang mewajibkan Modul Posting Elektif serta memberinya peluang untuk menimba pengalaman dalam bidang perubatan di luar negara.
Malah, fakulti itu juga membiayai sebahagian perbelanjaannya ketika di Hungary.
Dia juga menghargai bantuan Pusat Perhubungan Antarabangsa UKM (UKM Global) yang membantunya dari segi pembiayaan.
Ketika ditanya mengenai perancangan masa hadapan dalam bidang perubatan, Azwani Shafiqah menyatakan bahawa dia berhasrat untuk menjadi seorang pakar bedah.
“Sejak kecil, saya menanam impian untuk menjadi pakar bedah otak.
“Saya mempunyai minat dalam bidang ini kerana ia mencabar dan memerlukan kemahiran teknikal yang unik.
“Seorang pakar bedah perlu memiliki kemahiran yang tersendiri, di samping kebolehan berfikir secara kritikal mengikut situasi,” katanya.
Selain cemerlang dalam akademik, Azwani Shafiqah juga merupakan seorang pelajar yang aktif di universiti.
Malah, dia pernah menjadi eksekutif fakulti dalam Majlis Perwakilan Pelajar UKM Kampus Cheras.
Dia juga aktif dalam UKM Student’s Surgical Society (UKMSSS) yang mana dia memegang jawatan sebagai setiausaha.














