SEBAHAGIAN masyarakat sudah mula membuat persiapan raya meskipun masih belum memasuki bulan Ramadan. Persediaan awal baik bagi mengelakkan daripada melakukan persiapan pada saat akhir terutama melibatkan busana yang ingin digayakan pada hari pertama lebaran.
Jenama fesyen oleh pereka duo terkenal Rizman Ruzaini tampil dengan lima koleksi baharu yang tentu sahaja menawarkan variasi pilihan menarik sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Jenama fesyen terkenal itu melancarkan lima koleksi secara serentak baru-baru ini seraya meraikan ulang tahun ke-20 tahun empayar mereka dan sambutan Aidilfitri.
Memperkenalkan Rizman Ruzaini Raya 2025 Couture, Rizman Ruzaini 20th Anniversary Raya 2025 ready to wear (RTW) Capsule, Rizman Ruzaini Red Raya 2025 RTW, RR by Rizman Ruzaini Raya 2025 Empress, RR by Rizman Ruzaini Raya 2025 collection atau RR by Rizman Ruzaini Basic Raya 2025.
Memilih Ramadan dan Syawal sebagai detik terbaik untuk melancarkan barisan koleksi berkenaan, rekaan busana setiap koleksi turut menampilkan imbasan seleksi rekaan terdahulu yang pernah menjadi fenomena.
Bukan sahaja menjadi pengubat rindu, tetapi peminat jenama tersebut atau digelar RR Royalties turut berpeluang menggayakan semula koleksi daripada arkib jenama terkemuka itu.
Selaku pereka, Rizman Nordin berkata, tempoh dua dekad itu menjadi bukti kemampuan jenama miliknya bersaing dalam pasaran tempatan, tetapi turut berjaya mengharumkan nama negara ke peringkat antarabangsa apabila berjaya menjalin kerjasama dengan model terkenal dunia, Naomi Campbell dan penyanyi Lady Gaga.
”Bagi saya tempoh 20 tahun ini sudah menggambarkan kemampuan jenama ini untuk bersaing dalam liga tersendiri. Mengapa kami muncul dengan keputusan ini, bagi saya rakan-rakan artis adalah antara faktor Rizman Ruzaini berada pada tahap ini.
“Apa yang jelas, kami tidak akan sesekali melupakan rakan-rakan artis yang sentiasa memberi sokongan atas kerja keras kami. Berbeza kali ini kami ingin menghargai RR Royalties, yang juga pelanggan Rizman Ruzaini. Perlu diingatkan pelanggan kami hadir dari pelbagai latar belakang dan setiap daripada mereka adalah penyumbang setiap keputusan Rizman Ruzaini,” katanya kepada CitaRasa.
Berkongsi keistimewaan setiap koleksi ini, Rizman memberitahu koleksi Rizman Ruzaini Raya 2025 Couture cuba menampilkan rekaan yang menggambarkan tentang warisan budaya tempatan.
“Seiring dengan inspirasi itu, pemilihan kerabat diraja Pahang Tengku Shaheera Tengku Abdullah sebagai muse utama menyerlah lagi koleksi tersebut dan memberikan perincian sentuhan mewah di samping menggambarkan pemahaman yang halus tentang sejarah perkembangan dunia fesyen,” katanya.
Di samping itu, kemunculan koleksi Rizman Ruzaini Raya 2025 Capsule dilihat tepat pada masanya apabila berpeluang mengembalikan semula rekaan Rizman Ruzaini terdahulu yang menjadi kegemaran.
Biarpun diilhamkan daripada koleksi terdahulu, jenama Rizman Ruzaini tetap mementingkan rekaan masa kini dengan memberikan sentuhan corak yang lebih segar seiring cita rasa masa kini.
Tidak hanya memberi tumpuan kepada pelanggan sedia ada, Rizman Ruzaini Red 2025 Raya RTW dilihat koleksi tepat bagi mereka yang menginginkan rekaan eksklusif pada harga yang lebih mampu milik.
Diinspirasikan dari koleksi Mustika, Rizman Ruzaini Red 2025 Raya RTW hanya menyediakan lapan rekaan dengan gaya mewah dan tersendiri.
Tidak ketinggalan koleksi Rizman Ruzaini Basic kurung yang telah diperkenalkan sejak lima tahun lalu menjadi antara daya penarik kepada jenama tersebut apabila dianggarkan 300,000 pasang pakaian terjual setiap tahun sejak diperkenalkan.
Rekaan baju raya RR by Rizman Ruzaini Raya 2025 Empress pula diinspirasikan daripada legasi pemerintahan British, Ratu Victoria memperlihatkan asimilasi kekayaan sejarah dengan kemewahan kontemporari yang tentu sahaja akan menaikkan aura si pemakai pada pagi Syawal.
















