PETALING JAYA – “Mereka juga anak kami, tak rela biarkan mereka hidup tanpa kasih sayang. Ini amanah arwah kakak, kami akan pegang sampai bila-bila.”
Itu janji pasangan Muhammad Alif Malek dan Mira Nirwani Mohamad untuk menjaga dan membesarkan tiga anak saudara yang kehilangan ibu mereka pada 2 Mei 2022 akibat kemalangan jalan raya.
Biarpun Mira Nirwani, 32, mengalami masalah tulang belakang dan suami, 31, mengidap celebral palsy sejak lahir, namun status sebagai orang kurang upaya (OKU) tidak menjadi penghalang mereka untuk menggalas tanggungjawab sebagai penjaga tiga beradik tersebut.
Menurut Mira Nirwani, kehadiran Muhammad Mikail Rifqi Nor Razuan, 11, Nur Qistina, 8, dan Rabiatul Adawiyah, 6, menjadi pelengkap buatnya serta suami apabila perkahwinan hampir 10 tahun mereka belum dikurniakan zuriat.
“Kalau soal penat, ya terasa penat, terutama dari segi kewangan, tapi saya yakin, setiap apa yang jadi, pasti Allah akan bantu.
“Saya dan suami tidak pernah menyesal dengan keputusan yang kami ambil ini. Dia seronok menjaga anak-anak arwah kakak, kami tak dikurniakan cahaya mata, jadi Allah izinkan kami tumpang kasih sayang anak-anak ini dengan panggilan umi dan walid,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Mengulas tentang kejadian yang menimpa arwah kakaknya, Mira Nirwani berkata, kejadian berlaku pada 2 Mei 2022 di Jalan Dato Ali, Kangar, Perlis dan ketika itu kereta yang dipandu abang iparnya terbabas serta merempuh sebatang pokok sehingga menyebabkan kakaknya meninggal dunia di tempat kejadian.
“Abang ipar dan dan anak bongsu mereka, Rabiatul Adawiyah cedera parah masa kejadian, manakala Muhammad Mikail dan Nur Qistina tiada dalam kereta ketika itu.
“Kejadian berlaku pada waktu pagi, semasa umat Islam sedang ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri. Selepas selesai sahaja proses pengebumian, saya dan suami menjadi tempat anak-anak menumpang kasih,” katanya.
Tambah anak bongsu dari tiga beradik itu yang kini menetap di Kangar, antara sebab lain dia nekad untuk menjadi ‘umi’ kepada anak-anak saudaranya kerana tidak mahu mereka terpisah sekiranya dijaga oleh orang lain.
“Daripada serah pada JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), lebih baik saya jaga. Mereka rapat dengan saya sejak kecil,” katanya.
Bercerita soal kewangan, dia mengakui ia adalah satu perkara yang agak berat dirasai bersama suami ketika ini.
“Kami tak terima bantuan anak yatim yang bulan-bulan itu. Jadi kami kena cari sendiri (duit). Gaji suami yang sekarang ini sekitar RM2,000 sebulan tidak cukup untuk tampung kami sekeluarga.
“Bantuan dari sekolah, bantuan makanan tambahan dari sekolah pun kami tak dapat. Saya dan suami buat pelbagai kerja part time seperti memotong rumput, mencuci longkang dan apa saja pekerjaan yang boleh menjana pendapatan.
“Untuk tahun ini, adik bongsu dari tiga beradik itu mula memasuki darjah satu, manakala si abang pula ke sekolah tahfiz.
“Kami tak minta balasan apa-apa dari mereka, yang penting mereka semua berjaya dan berdikari jika saya dan suami tiada nanti,” katanya.















