fbpx
TIFFANI terjebak e-sukan gara-gara pelajar lelaki di universiti mendaftarkannya memasuki pemilihan pemain Dota 2 wanita.

Dari medan Dota 2 ke advokasi atlet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM arena e-sukan Malaysia, Tiffani Lim dikenali bukan hanya sebagai pemain Dota 2 tetapi juga sebagai pengurus pasukan e-sport yang berkaliber.

Buktinya, wanita yang turut dikenali dengan nama ‘Oling’ itu juga mendapat pelbagai pengiktirafan dalam sukan itu pada 2024 apabila dinobatkan sebagai Tatler Gen.T Leaders of Tomorrow.

Bukan itu sahaja, atlet dalam lingkungan usia 30-an itu turut menerima Anugerah Wanita dalam Sukan oleh Bijoumontre dan Majlis Olimpik Malaysia pada tahun sama.

Sebagai pengurus pasukan, anak jati Johor Bahru, Johor itu berjaya membawa Malaysia meraih pingat emas di Global Esports Games Riyadh 2023 serta satu lagi pingat emas di Kejohanan Esports Komanwel 2022.

Sebelum beralih ke pengurusan, Tiffani merupakan pemain berbakat yang pernah menjuarai Female Southeast Asia League Musim 4 (2017) dan menjadi naib juara dalam kejohanan besar seperti VPGame Female Dota 2 Tournament (2017) serta Female SEA League Musim 5 (2018).

Mengimbau kenangan, Tiffani yang sememangnya meminati permainan video sejak kecil mula terjebak dengan Dota 2 ketika menuntut di Universiti Kebangsaan Singapura sekitar 2011.

Pada ketika itu, rakan-rakan lelaki satu kolej kediamannya mendapati dirinya berbakat lalu menawarkan gadis itu untuk mengisi satu slot dalam pasukan mereka.

Perjalanannya dalam dunia kompetitif juga bermula secara tidak disangka apabila rakan-rakan sama mendaftarkannya untuk sesi pemilihan pasukan Dota 2 wanita tempatan tanpa pengetahuannya.

“Dota 2 menuntut kemahiran mekanik dan strategi yang mendalam sekali gus menjadikannya lebih mencabar berbanding permainan seangkatannya iaitu League of Legends dan Mobile Legends.

“Saya suka permainan yang kompetitif dan memiliki respons tangan yang laju. Jadi, rakan-rakan lelaki saya merasakan saya berbakat dan ajak saya bermain dengan mereka.

“Kemudian, ketika terdapat sesi pemilihan pemain Dota 2 wanita, mereka mendaftarkan nama saya tanpa pengetahuan saya. Dari situlah perjalanan saya sebagai pemain bermula,” katanya kepada K-Remaja.

Untuk pengetahuan, Dota 2 ialah permainan video Multiplayer Online Battle Arena (MOBA) yang dibangunkan oleh Valve Corporation.

Dalam permainan ini, dua pasukan yang terdiri daripada lima pemain bertarung untuk memusnahkan Ancient lawan iaitu struktur utama di pangkalan mereka.

Setiap pemain mengawal hero dengan kemahiran unik dan perlu bekerjasama untuk mengumpul emas, membeli barang dan meningkatkan tahap untuk mengalahkan musuh.

Dota 2 terkenal dengan mekanik yang kompleks dan strategi mendalam, menjadikannya salah satu permainan paling mencabar dalam genre MOBA (sama dengan League of Legends dan Mobile Legends).

Pada sekitar 2013, pelajar jurusan sains politik itu turut terlibat mengulas permainan Dota 2 dan membentuk pasukan Dota 2 semua wanita untuk bertanding dalam kejohanan.

Lebih kurang setahun kemudian, Tiffani pulang ke tanah air setelah ditawarkan untuk menguruskan pasukan Dota 2 Malaysia yang berada di peringkat kompetitif iaitu Titan.

Peranannya sebagai pengurus adalah merapatkan komunikasi antara pihak berkepentingan yang merupakan orang Barat dengan pemain yang hanya berbahasa Mandarin.

Ketika itu, Tiffani mendapati pemain-pemain wanita tempatan juga memiliki bakat dan potensi besar lalu mengasas pasukan wanita yang dipanggil Grills Gaming.

Sewaktu mengurus dan bermain bersama Grills Gaming, Tiffani mendapati cabaran terbesar bagi pasukan wanita berbanding pasukan lelaki adalah untuk mendapatkan penajaan.

Katanya, meskipun pasukannya telah membuktikan kemampuan mereka meraih pelbagai kejayaan pada sekitar tahun 2016 hingga 2018, masih ramai penaja tidak berminat untuk menaja pasukan tersebut.

“Kebanyakan mereka hanya mempertikaikan kesungguhan kami. Ini kerana kejohanan kategori wanita dianggap tidak kompetitif seperti lelaki kerana tahap kemahiran yang berbeza.

“Oleh itu, tidak ramai yang berminat untuk menonton kejohanan wanita sekali gus tidak akan memberikan pulangan sewajarnya kepada mereka,,”katanya.

TIFFANI berjaya membawa pasukannya meraih pingat emas Global Esports Games Riyadh 2023.

Sebagai pemain e-sukan, Tiffani pernah mengalami sendiri masalah seperti gaji dan hadiah kemenangan yang tidak dibayar, rentetan itu, dia menyedari keperluan untuk menubuhkan kesatuan pemain.

Dengan kerjasama sebuah firma guaman sukan, pengerusi Persatuan Pemain Esports Malaysia pada 2017 itu menganjurkan sesi rundingan dengan penganjur kejohanan yang gagal membayar hadiah kemenangan.

Menyedari bahawa ini bukan sekadar isu di Malaysia tetapi masalah global, Tiffani mengambil langkah lebih besar dengan menyertai International Esports Federation (IESF).

“Pada awalnya, saya hanya menyuarakan isu-isu berkaitan atlet ini di media sosial tetapi menyedari ia tidak memberi kesan besar kerana ia adalah masalah sistemik.

“Oleh itu, saya memilih untuk bergerak melalui organisasi rasmi bagi membawa perubahan sebenar dalam industri e-sukan,”katanya yang kini telah enam tahun memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Atlet badan tersebut.

Selain itu, Tiffani juga berharap penerbit permainan lebih aktif dalam menggalakkan penyertaan wanita dalam kejohanan profesional kerana penerbit memiliki kuasa penuh dalam membentuk landskap pertandingan mereka.

Ujarnya, wanita mempunyai cara pemikiran strategi yang berbeza berbanding lelaki yang boleh membawa dinamika baharu dalam meta permainan.

“Saya berharap lebih banyak pasukan campuran yang menggabungkan pemain lelaki dan wanita serta kejohanan berformat campuran.

“Mungkin akan ada sistem kuota yang mewajibkan sekurang-kurangnya satu atau dua pemain wanita dalam setiap pasukan.

“Langkah ini boleh membuka lebih banyak peluang dan membawa kepelbagaian dalam dunia e-sukan” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN