KUALA LUMPUR – Empat kenderaan di Taman Pandan Perdana, disini rosak dihempap pokok akibat hujan lebat dan ribut petir petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.30 petang.
Katanya, seramai lapan anggota serta dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan di lokasi, sebatang pokok dilaporkan tumbang dan menghempap empat buah kenderaan iaitu Toyota Avanza, Nissan SYLTH, Hyundai Gets dan Proton Satria.
“Bagaimanapun, tiada mangsa yang dilaporkan terlibat. Kerja-kerja memotong dan mengalihkan pokok sedang dilakukan oleh anggota bertugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Mukhlis berkata, sebatang pokok juga dilaporkan tumbang di bulatan Jalan Reko menghala Kompleks PKNS Bangi kira-kira pukul 5.02 petang tadi.
Katanya, pokok yang tumbang itu hanya menghalang jalan dan tidak melibatkan mangsa mahupun struktur bangunan.
“Kerja-kerja mengalihkan pokok sedang giat dilakukan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bangi dengan bantuan sebuah jentera,” katanya.- KOSMO! ONLINE