SIAPA kata bola sepak Malaysia sudah tidak meriah? Peminat masih rindukan suasananya. Buktinya pada 3 Februari lalu Stadium Majlis Perbandaran Temerloh atau Stadium Mini Temerloh ‘full house’.
Walaupun berkapasiti kira-kira 8,000 orang sahaja, cukup menggambarkan orang ramai masih teruja menyaksikan perlawanan pasukan kesayangan. Pasukan yang bertanding hari itu Sri Pahang FC, melayan kunjungan pelawat, Sabah FC dalam perebutan slot ke final Piala Malaysia di Bukit Jalil.
Menonton perlawanan bola sepak ini adrenalinnya berbeza. Lebih-lebih lagi jika ke stadium. Jadi tidak hairan ada penyokong Sabah sanggup berhabis ribuan ringgit membawa keluarga terbang ke Semenanjung. Turun di Kuala Lumpur dan tempuh perjalanan kira-kira dua jam lagi ke Bandar Ikan Patin tersebut. Semata-mata demi Sabah FC.
Untung juga perlawanan berlangsung ketika cuti sekolah. Ibu bapa angkut sekali anak-anak ke stadium. Isu-isu remeh terpaksa duduk berhimpit-himpit, kerusi penuh tahi burung walau beli tiket di pentas utama semuanya dilupakan sebaik melihat para pemain masuk. Tumpuan terus terarah ke tengah padang.
Peminat setia Sri Pahang pasti faham benar isu yang melanda pasukan. Tunggakan gaji pemain. Isu yang setiap musim kita dengar membabitkan pasukan Liga Malaysia. Sukan ini di Malaysia
memang tidak memberi untung. Kita kena akui. Itu suatu perkara yang dari dahulu kita gagal tiru pasukan-pasukan di Eropah atau dari luar.
Rakan penulis yang pernah menaja pasukan bola sepak komuniti bertanding di Liga Subang pun mengakui berapa sangat ‘wang balik’. Kadang-kadang tiada langsung. Modal hangus katanya. Memang tidak berharap pulangan, biar budak-budak semangat main bola – katanya lagi memujuk perasaan.
Kita hanya mengulangi sejarah. Lihat sahaja beberapa tahun kebelakangan ini sudah berapa pasukan besar ‘hilang’ dari radar Liga Malaysia. Tahun ini sudah ada ura-ura beberapa pasukan yang mahu menarik diri pada musim depan.
Penulis ingin menzahirkan penghargaan buat pasukan Sri Pahang FC yang menampilkan semangat juang luar biasa pada Ahad lalu. Meskipun penghargaan ini tidak dapat ‘ditukar’ di kedai dengan gula, gandum dan beras.
Anda semua hebat dalam situasi sebegini dapat ke final Piala Malaysia. Hitam putih takkan padam! – KOSMO! ONLINE















