KOTA BHARU – Dua beradik yang kehilangan ibu bapa dalam kemalangan melibatkan kereta dan treler di Kilometer 3, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di Gua Musang semalam akan dijaga oleh datuk mereka.
Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, pemandu kereta jenis Perodua Myvi, Muhammad Syamie Farhan Adnan, 25, dan isterinya, Nurul Syafika Anis Zulkifli, 26, meninggal dunia di lokasi, manakala dua anak mereka Muhammad Izz Danial, 5, dan adiknya, Nur Irdina Delisha, enam bulan selamat.
Bapa Muhammad Syamie, Adnan Ismail, 49, berkata, dia dan isterinya akan mengambil tanggungjawab menjaga dua cucunya sehingga kedua-dua mereka sembuh.
Katanya, Nur Irdina Delisha sudah menjalani pembedahan kecil selepas mengalami kecederaan pada usus dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.
“Alhamdulillah, Muhammad Izz Danial sudah stabil dan ditempatkan di HRPZ II.
“Saya dan isteri akan mengambil tanggungjawab untuk menjaga kedua-dua cucu kerana mereka sudah menjadi anak yatim piatu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Perumahan Pak Badol, Melor di sini hari ini.
Adnan memberitahu, dia mendoakan kedua-dua cucunya itu supaya cepat sembuh dan tidak mengalami komplikasi serius ekoran kemalangan tersebut.
Katanya, kali terakhir dia bertemu empat beranak tersbut pada Rabu lalu ketika menghadiri kenduri kawin di Gua Musang.
“Sepanjang berada di Gua Musang, Adnan tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap. Ketika empat beranak itu datang bercuti di Kota Bharu, mereka tidak sempat menjenguk saya di sini,” katanya. -KOSMO! ONLINE.














