SETIAP individu mempunyai cara tersendiri untuk menghiburkan diri. Tidak mengira sama ada melakukan aktiviti menarik secara bersendiri atau dengan orang tersayang.
Begitu juga dengan penyanyi Fairuz Selamat yang gemar bermain permainan video bagi mengisi masa lapang terutama setelah seharian memberi tumpuan kepada kerjaya seni dan tanggungjawab hakiki sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perak.
Sekitar empat tahun lalu, pemilik nama lengkap Mohd. Fairuz Selamat, 40, itu sudah membiasakan diri dengan permainan video terutamanya Mobile Legends versi desktop. Bagi permainan tersebut, dia menggunakan papan kekunci khas dan lampu gamer untuk permainan video.
Kata Fairuz, selain menghiburkan, bermain permainan video juga memberi peluang buatnya untuk merehatkan minda dan keluar seketika daripada kesibukan kerja.
“Saya mula aktif bermain permainan video ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) empat tahun lalu. Waktu itu saya tidak tahu hendak buat apa kerana banyak masa dihabiskan di rumah.
“Jadi saya tertarik dengan permainan video dan perlahan-lahan membeli satu per satu kelengkapan seperti kerusi ‘gaming’, lampu, papan kekunci dan beberapa peralatan lain. Bagi saya, melengkapkan semua kelengkapan itu satu perasaan yang memuaskan,” katanya kepada K-Tekno.
Biarpun berstatus bujang, namun Fairuz bukanlah seorang yang gemar menghabiskan masa di luar rumah melainkan mempunyai alasan kukuh atau keperluan mendesak.
Sebaliknya, jejaka kelahiran negeri Johor itu lebih suka duduk di rumah menghiburkan diri dengan bermain permainan video dan membuat rakaman video nyanyiannya di media sosial.
“Mungkin kerana saya bukan jenis yang suka keluar rumah, jadi bermain permainan video ini aktiviti yang ‘cocok’ dengan diri saya.
“Saya hanya akan keluar rumah jika benar-benar memerlukan sama ada soal kerja atau ke gimnasium.
“Lagipun, saya juga masih bujang dan tidak terikat dengan tanggungjawab rumah tangga. Mungkin jika sudah berumah tangga nanti akan jadi berbeza kerana saya akan fokus kepada keluarga pula.
“Bermain permainan video ini juga membolehkan saya bertukar pendapat dengan pemain lain dari luar negara seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam. Walaupun saling tidak mengenali, tetapi saya seronok dapat bermain dengan mereka yang datang dari pelbagai latar belakang,” jelasnya.
Selain permainan video, pelantun lagu Izinkanlah itu turut memiliki kelengkapan seperti mikrofon dan adunan suara (mixer) bagi membolehkan dia membuat rakaman video nyanyian.
Jelasnya, sebagai penyanyi dan muncul sebagai peserta program nyanyian popular Gegar Vaganza musim ke-11, Fairuz mengakui perlu menggunakan peralatan berkualiti untuk mendapatkan hasil yang memuaskan.
Tidak mendedahkan jenama atau kos yang telah dibelanjakan, Fairuz bagaimanapun yakin peralatan yang tepat mampu menyerlahkan mutu nyanyian seseorang.
“Secara terperinci itu tidak perlu saya jelaskan, tetapi jika mahu yang terbaik sebaiknya belilah peralatan yang berkualiti.
“Pada saya, bajet dalam RM1,000 itu cukup untuk menyediakan segala kelengkapan seperti kabel, mikrofon, mixer, sound cut dan perisian yang sesuai.
“Mixer itu penting kerana boleh kurangkan bunyi bising yang tidak diingini dan membantu untuk jadikan suara lebih sedap. Kepuasan penonton itu penting kerana mereka yang akan menjadi penentu sama ada sedap atau tidak nyanyian,” ujar Fairuz.














