Ramai rakyat Malaysia kini terjebak aktiviti membeli dan mengumpul patung blind box (dibeli secara kotak tanpa tahu rupa dan warna) antaranya Labubu, CryBaby, Nommi, Skullpanda dan Liila's Lucky Cat. Faktor kecomelan dan kerahsiaan dikatakan tarikan membelinya.

Ketagih kumpul patung loket ‘blind box’ Labubu, CryBaby, Nommi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP kali menonton sesi siaran langsung penjual di TikTok yang menyua pelbagai jenis koleksi patung collectibles dalam kotak yang dipanggil ‘blind box’, Nur Suhada Abu Zarin, 40, bagaikan terpukau dan terus membuat pembelian.

Biarpun berulang kali memberitahu diri bahawa pembelian kali ini adalah pembelian terakhirnya, namun tahu-tahu, wanita yang mesra disapa Sue itu terus menerima kiriman demi kiriman blind box terbaharunya selepas ‘terjerat’ lagi dalam sesi live yang ditonton.

Situasi tersebut merupakan perkara biasa yang dialami bukan saja Sue, malah ramai lagi netizen terutama peminat tegar koleksi patung collectibles atau plushies yang kini menjadi satu trend digilai ramai.

Siri patung keluaran syarikat dari China yang menampilkan karakter patung comel berloket atau rantai kunci (keychain) antaranya Labubu, CryBaby, Nommi, Skullpanda dan Liila’s Lucky Cat itu menjadi barangan must have bagi pengumpul ini yang bahkan sanggup membeli dari kumpulan ‘reseller’ atau penjual semula biarpun terpaksa bayar lebih berbanding harga jualan runcit.

Labubu ialah karakter seakan arnab berwajah nakal dan sedikit menakutkan dengan lapan gigi bergerigi sementara Nommi boneka comel bermata boleh pusing, manakala CryBaby (karakter ala Powerpuff Girls menangis), Skullpanda (karakter kecil cereka) dan Liila’s Lucky Cat (kucing berdiri bermata bulat).

Berkongsi dengan CitaRasa, bekas jurutera sebuah syarikat telekomunikasi itu berkata, minatnya terhadap patung-patung begini timbul sekitar September tahun lalu selepas dia mengambil keputusan berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa.

Ketika itu, Sue banyak menonton sesi siaran langsung penjualan patung-patung ini di TikTok yang dikendalikan penjual dari dalam dan juga luar negara.

“Patung pertama yang saya beli adalah Liila’s Lucky Cat yang ketika itu, saya sekadar mahu cuba-cuba memandangkan saya juga tertanya-tanya, apa agaknya yang menarik sangat tentang patung-patung sebegini.

“Ketika itu, penjual sedang menjual ‘blind box’ dengan pembeli diminta memilih satu nombor dan mereka akan menerima patung-patung yang dihantar mengikut nombor yang dipilih tanpa mengetahui rupanya,” ujarnya tentang konsep belian ‘blind box’.

‘Blind box’ merujuk kepada kotak bersifat misteri dan pembeli tidak tahu patung siri mana, gaya apa atau warna apa yang akan diperoleh mereka. Menariknya, sesetengah figura dalam kotak ini adalah cukup unik, berbeza dan dilabel sebagai ‘secret’ atau hidden’ lalu menjadikan koleksi ini lebih menjadi buruan.

Nur Suhada

Sangka Sue, dia tidak akan terjebak untuk menambah koleksinya, namun wanita itu mendapati dia menjadi ketagih untuk terus membeli, terutama sekali apabila sering menyertai atau pun menonton sesi siaran langsung.

Selepas terjebak, Sue mula memuat naik kandungan sesi ‘unboxing’ koleksi yang dibelinya menerusi TikTok.

Pada awalnya, dia cuma membeli hanya sekadar untuk dijadikan simpanan peribadi, namun selepas lihat ramai pembeli yang bagaikan berlumba-lumba memuat naik kandungan sesi ‘unboxing’ pembelian masing-masing, Sue mula mengikuti jejak langkah mereka dan kini akaun TikToknya iaitu @justcallmesusue dipenuhi koleksi video ‘unboxing’.

“Sangka saya, tidak ramai orang di Malaysia yang ketagih membeli ‘blind box’ sebegini, namun ternyata saya silap kerana daripada video-video saya, saya mendapat tahu ramai rupanya yang sama-sama sukakan konsep pembelian blind box sebegini.

“Hal ini kerana ia ibarat bermain game. Konsepnya juga sama seperti mengumpul barangan lain, cumanya ‘blind box’ ini kebanyakannya merupakan koleksi figurines dan patung plushies,” katanya.

Sue berkata sehingga kini dia mempunyai keseluruhan sekitar 30 patung sebagai koleksinya.

Bahkan, ada antara koleksi tersebut yang masih lagi tersimpan rapi dalam kotak dan belum sempat dibuka, dan ada juga yang sudah dihadiahkan kepada anak-anak buahnya.

Bercerita tentang koleksi idaman yang masih belum diperoleh, Sue berkata, koleksi Labubu ‘Flip With Me’ dan Labubu X Pronounce merupakan dua koleksi yang diidamkan, namun masih belum berjaya dimiliki.

“Jika diikutkan, kedua-dua Labubu itu boleh sahaja saya beli menerusi reseller atau penjual yang menjualnya semula, namun saya lebih memilih untuk mendapatkannya sendiri dari syarikat pengeluar sama ada secara online atau dari gedungnya, kerana saya sukakan cabaran membeli sendiri pada harga runcit,” katanya.

Labubu (kanan) digantung pada beg Nurilya.

Harga jualan bagi rangkaian patung keluaran syarikat Pop Mart itu adalah antara RM40 hingga hampir RM1,000 mengikut saiz dan jenis.

Sejak September lalu, Sue berkata dia sudah membelanjakan hampir RM2,000 untuk minat baharunya itu.

Sebelum ini juga media pernah melaporkan seorang remaja, Soffea Dini Zulkifly 19, telah membeli lebih 50 patung Labubu dan berhabis sehingga puluhan ribu ringgit demi koleksinya.

Mengulas tentang trend itu, Sue mengakui tarikannya adalah terletak pada kecomelan dan kerahsiaan bagi karakter patung yang dibeli.

Bahkan, dia juga tidak melihat trend itu akan surut atau mulai menjadi perlahan, sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun ini, memandangkan syarikat pengeluar patung itu masih terus menghasilkan siri-siri baharu yang menjadi buruan ramai.

Bagi Nurilya Azman, 25, pula minatnya terhadap Labubu timbul selepas dia menerima hadiah berupa keychain karakter itu daripada seorang rakan sekerja.

“Pada mulanya, saya tidaklah berminat untuk mengumpul barangan atau keychain sebegini, namun seorang rakan sekerja kemudian menghadiahkan satu Labubu kepada saya.

“Saya rasa ia nampak comel, lebih-lebih lagi apabila ia digantung pada beg,” katanya yang menggantung Labubu itu pada salah satu tas tangan hariannya.

Selain Labubu, Nurilya juga sukakan keychain karakter Pokemon iaitu Chikorita yang dibelinya dari Pokemon Centre, Jepun. Bagi anak kelahiran Semenyih, Selangor itu, produk sedemikian menjadikan beg tangannya nampak

lebih menarik apabila digayakan, selain menjadikan dia tampil lebih trendy.

Begitu pun, Nurilya yang merupakan pekerja swasta itu mengakui kini sudah tidak lagi meminati Labubu selepas mendapati ia sebenarnya ditegah agama.

“Selepas baca artikel berkenaan Labubu yang dikatakan ‘anak syaitan’ dan larangan bagi orang Islam mengumpulnya, saya serta-merta hilang minat untuk mengumpulnya.

“Saya ambil maklum perkara itu dan batalkan niat untuk terus membeli koleksi lain. Bahkan, saya ada dua saja yang masih digantung pada beg memandangkan sebahagian besar sudah pun dijual kepada rakan-rakan,” katanya.

Bagi pemilik sebuah kedai menjual Labubu dan barangan collectibles lain di Sarawak yang hanya memperkenalkan diri sebagai KY, dia melihat trend sedemikian sebagai sesuatu yang mungkin bersifat sementara, bergantung kepada permintaan.

Pemilik Mirai Creations Studio yang terletak di aras dua pusat beli-belah Cityone Megamall, Kuching itu berkata dia mula menjual Labubu di kedainya sejak Oktober tahun lalu dan mengakui produk itu merekodkan jualan yang memberangsangkan.

“Saya mula menjual Labubu di kedai pada penghujung Oktober lalu, ternyata produk itu laris dijual.

“Perspektif saya selaku penjual, saya lihat tarikan yang ada pada karakter Labubu ini terletak pada wajahnya yang comel, malah juga boleh digantung pada barangan harian kita seperti beg dan telefon bimbit. Bahkan, ada juga yang menggelar Labubu ini sebagai ‘peneman jiwa’.

“Ia turut menjalin kerjasama dengan jenama-jenama besar seperti Coca-Cola, menjadikan ia cukup popular,” ujar KY.
KY bagaimanapun berkata, terdapat beberapa trend lain yang dilihat juga akan bertahan lama, berbanding trend mengumpul patung collectibles.

“Bagi saya, barangan seperti trading card games (TCG) mempunyai nilai lebih tinggi dalam pasaran produk collectibles. Ia bahkan sudah popular sejak awal 1990-an dan sehingga kini masih kekal relevan dan dicari oleh kelompok peminatnya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN