RASHFORD kuat dikaitkan bakal meninggalkan Old Trafford pada jendela perpindahan kali ini selepas gagal mendapat tempat dalam skuad Amorim. - AFP

Mungkinkah United ulangi kesilapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JENDELA perpindahan musim sejuk kali ini yang dibuka sepanjang Januari menyaksikan nama Marcus Rashford menjadi item yang hangat disebut bakal meninggalkan Old Trafford apabila banyak kelab gergasi sedang memancingnya.

Sepanjang lebih dua musim di bawah kendalian Erik Ten Hag, kelibat Rashford menjadi tonggak penting United biarpun prestasinya kerap mengecewakan peminat, namun kehadiran Ruben Amorim menyaksikan pengendali dari Portugal itu mengambil tindakan berani mengetepikan khidmatnya biarpun melibatkan perlawanan penting.

Aksi menentang Arsenal ketika United meraih kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti kelmarin untuk mara ke pusingan keempat menyaksikan lebih sebulan kelibatnya tidak kelihatan berada dalam skuad Amorim dan terlepas sekurang-kurangnya tujuh perlawanan.

Selepas membuat 426 penampilan bersama United dan muncul penjaring ke-12 terbanyak untuk kelab itu, situasi ketika ini menyaksikan Rashford bersedia dilepaskan oleh kelab itu sekiranya mereka mendapat tawaran yang munasabah apabila kontraknya masih berbaki sehingga Jun 2028 selain masih dianggap sebagai penyerang yang baik.

Namun, persoalan utama yang bermain di benak para peminat The Red Devils adalah kemungkinan keputusan yang diambil itu akan membuatkan mereka menanggung kekesalan pada kemudian hari kerana sebelum ini mereka juga berdepan situasi sama dan dikatakan mengambil pendekatan silap biarpun tidak pernah diakui oleh pihak pengurusan.

Musim panas lalu, United yang berada di bawah urus tadbir Sir Jim Ratcliffe membuat keputusan melepaskan khidmat bintang masa depan, Mason Greenwood ke Olympique Marseille pada nilai £26.6 juta (RM145.91 juta) selepas enggan lagi terbabit dengan kontroversi serangan jenayah seksual dilakukan pemain itu selain mahu menjaga imej bersih kelab.

Bersama Marseille, Greenwood kini kembali menikmati detik terbaik kariernya apabila sudah meledak 11 gol untuk berkongsi status penjaring terbanyak Ligue 1 dan membantu kelab itu mengukuhkan kedudukan di tangga kedua liga ketinggalan tujuh mata di belakang Paris Saint-Germain.

Situasi hampir sama dilalui United ketika berdepan isu melibatkan Jadon Sancho apabila hanya mampu meledak 12 gol dan enam umpanan jaringan dalam 83 penampilan di Old Trafford selepas dibeli dengan harga yang agak tinggi dari Borussia Dortmund sebelum ini.

Selepas dipinjam ke Dortmund pada Januari tahun lalu, Sancho berjaya membawa pasukan itu mara ke final Liga Juara-Juara menyebabkan ramai peminat berharap dia mampu kembali ke United dengan aura berbeza, namun pihak pengurusan membuat keputusan melepaskannya pergi ke Stamford Bridge untuk bersama Chelsea secara pinjaman sepanjang musim ini dengan pilihan berhijrah secara kekal.

Biarpun Greenwood dan Sancho meninggalkan United dengan alasan berbeza, United dikatakan tidak akan menyesal jika mereka berjaya menyinar di kelab lain sekali pun mereka berjaya merangkul Anugerah Ballon d’Or.

Bagaimanapun, dalam situasi Rashford mereka perlu membuat satu keputusan yang benar-benar tuntas, sekali pun perlu menjualnya, ia perlu pada harga yang benar-benar berbaloi selepas beberapa musim United dianggap kelab yang kurang bijak dalam urusan penjualan dan pembelian pemain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN