Aksi 'wai kru' muay thai oleh gadis berketurunan Kadazan Dusun, Jenna memukau juri dalam Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia IFMA 2024 di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

Ekspresi sumandak Sabah juara ‘wai kru’ muay thai remaja dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBAIK sahaja alunan muzik tradisional Sarama dimainkan, Jenna Sheryca Dyna Aby Jasli melutut di tengah gelanggang sambil kedua-dua tangannya melakukan pergerakan wai (dirapatkan) dengan penuh hormat.

Badannya kekal anggun ketika melengkapkan rutin pergerakan yang melambangkan rasa terima kasih dan hormat terhadap mentor dan seni itu sendiri.

Kemudian, anak muda tersebut beralih ke pergerakan yang menggabungkan gerak isyarat tradisional dengan elemen unik individu.

Siapa sangka, persembahan penuh keyakinan anak jati Sabah itu berjaya menawan hati para juri, sekali gus dinobatkan sebagai juara Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia IFMA 2024 bagi kategori ‘wai kru’ solo perempuan junior iaitu 14 hingga 15 tahun di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

Menurut Jenna, kemenangannya itu sememangnya sesuatu yang tidak diduga memandangkan saingan di Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia IFMA sememangnya sengit dengan Thailand sebagai tuan rumah pada penganjuran kali ini.

“Saya sangat terkejut dengan pencapaian pada kejohanan tersebut dan sangat bersyukur dapat membawa nama Malaysia di pentas muay thai bagi kategori wai kru solo perempuan.

“Semua ini berlaku atas berkat kepercayaan dan tunjuk ajar jurulatih saya, Addyana June Adangku dan Ahmad Ridwan Ghazali yang banyak membantu saya sepanjang latihan dan bertanding,” katanya kepada K-Remaja.

Untuk rekod, Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia IFMA 2024 disertai peserta dari 62 negara dan berlangsung di Paragon Hall, Siam Paragon, Bangkok pada 11 hingga 20 September lalu.
IFMA merujuk kepada Persekutuan Antarabangsa Persatuan-Persatuan Muay Thai.

Jenna pandai membahagikan masa antara pelajaran dan sukan.

Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia IFMA 2024 menampilkan pelbagai pertandingan merentasi pertempuran dan disiplin kebudayaan.

Acara pertempuran (combat) termasuk pertarungan muay thai tradisional yang dikategorikan mengikut umur dan berat.

Sementara disiplin kebudayaan pula, termasuklah acara wai kru (persembahan ritual), mae muay (teknik tradisional), muay talay (aktiviti berasaskan akuatik) dan muay kita (tarian muay thai berirama).

Kategori inklusif seperti Para Muay Thai dan Muay Thai khas turut dipertandingkan sekali gus menyerlahkan peluang untuk atlet yang kurang upaya fizikal dan intelek.

Pada edisi tersebut, Malaysia turut membawa pulang satu pingat emas wai kru menerusi Katiana Funda Kara (junior solo perempuan 10 hingga 11 tahun) serta dua pingat perak menerusi Ariesya Dania Abdul Latip (junior solo perempuan 14 hingga 15 tahun) selain Jaethan Jonathan Quan (junior solo lelaki 12 hingga 13 tahun).

Jenna yang lahir pada 11 November 2008 menyertai kategori 14 hingga 15 tahun kerana tarikh lahirnya adalah dalam bulan November, sekali gus masih lagi diiktiraf berusia 15 tahun ketika kejohanan diadakan pada September lalu.

Gadis kelahiran Kampung Damai, Kota Marudu berketurunan Kadazan Dusun itu merupakan anak bongsu daripada enam beradik.

Berkongsi bibit-bibit awal penglibatannya dalam dunia sukan muay thai, Jenna berkata, kakaknya merupakan pencetus minatnya terhadap sukan itu.

“Saya kagum melihat pencapaian serta dedikasi kakak saya dalam sukan muay thai kategori combat dan membuat keputusan untuk menyertai acara sama ketika berusia 14 tahun.

“Tetapi lama-kelamaan, saya dapati diri saya lebih berbakat dalam acara wai kru dan memilih untuk berlatih serta bertanding bagi kategori tersebut,” katanya.

Bagi kategori wai kru, juri akan meneliti ciri-ciri seperti ketepatan pergerakan tradisional wai kru dan ram muay, kreativiti individu tanpa merosakkan elemen tradisional, ekspresi emosi serta penyelarasan dengan irama muzik Sarama.

Atlet wai kru tidak mengikuti rejimen diet ketat yang sama seperti atlet combat kerana tumpuan adalah pada persembahan dan ekspresi berbanding ketahanan fizikal atau kelas berat badan.

Bagaimanapun, Jenna tetap mengekalkan diet yang sihat kerana persembahannya itu memerlukan tenaga, fokus dan kawalan fizikal yang optimum.

“Saya tidak makan makanan ringan kerana makanan dalam kategori tersebut akan menyebabkan saya kehilangan stamina dan cepat penat.

“Saya juga pastikan berat badan saya berada dalam kategori 49 kilogram (kg) atau 50kg sahaja agar penampilan saya kekal sesuai dengan kategori wai kru ini.

“Saya kurang makan nasi dan lebih banyak makan dada ayam serta sayur-sayuran kerana badan saya memerlukan otot yang kuat,” jelasnya yang mahu meningkatkan lagi tahap keseimbangan dan pernafasannya.

Mengulas perancangan masa depan, Jenna mahu kariernya sebagai atlet berjalan seiringan dengan cita-citanya untuk menjadi seorang guru bahasa Inggeris satu hari nanti.

Untuk sukan muay thai, Jenna berharap keupayaannya merangkul gelaran emas dan juara dunia remaja membuka peluang untuk dirinya dipilih mewakili negara dalam Sukan Malaysia (Sukma) dan Sukan SEA pada masa akan datang.

Pada jangka masa panjang, Jenna turut menanam impian untuk meraih peluang berlatih di Thailand, sekali gus menjadi jurulatih sukan tersebut.

Kongsi Jenna, idolanya dalam sukan muay thai ialah Angie Yan Jia Chi, juara remaja dunia berganda muay thai juga dari Sabah. Jenna menyifatkan Jia Chi yang kini berlatih di Thailand memiliki jalan hidup yang mengagumkan.

Jelas pelajar aliran sains Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandau, Kota Marudu itu lagi, dia mampu membahagikan masa antara pelajaran dan sukan dengan baik.

“Saya gunakan masa rehat saya di sekolah untuk siapkan tugasan agar saya boleh tidur apabila pulang ke rumah. Pada waktu malam, saya akan berlatih sendiri.

“Saya hanya berlatih di gimnasium bersama jurulatih setiap hari Ahad sekiranya bukan dalam tempoh pertandingan. Pada masa lain, saya tumpu kepada rakan dan keluarga. Pembahagian masa akan berubah pada musim pertandingan dengan lebih tumpuan diberikan pada sukan ini,” katanya.

Menitip nasihat kepada anak-anak muda yang ingin menyertai muay thai, Jenna berkata, ketabahan amat diperlukan.

“Saya nasihatkan mana-mana remaja sekolah yang mahu sertai sukan Muay Thai perlu ada ketabahan kerana cabarannya lebih dari sekadar fizikal.

“Untuk capai ke tahap yang tinggi akan ada banyak cabaran terutama dari segi mental. Ini kerana mereka perlu hadapi pelbagai pandangan daripada jurulatih, ibu bapa, guru dan rakan-rakan mengenai apa yang terbaik untuk mereka,” katanya yang turut gemar bermain catur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN