fbpx
SEMOGA Tahun Baharu 2025 memberikan keceriaan buat semua.

Hari pertama 2025, apa yang baharu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HARI ini, kita sebagai salah seorang daripada 34.1 juta rakyat Malaysia dan salah seorang daripada 8.2 bilion penduduk Bumi menyambut hari pertama – 1 Januari bagi tahun 2025.

Beberapa jam yang lalu, kita meninggalkan tahun 2024 dengan seribu satu kenangan.

Ada yang meninggalkan banyak kenangan manis, ada yang meninggalkan banyak kenangan duka. Ada yang separuh-separuh. Itulah kehidupan. Hari semalam yang ditinggalkan, hari ini yang menjadi kenyataan dan hari esok yang menjadi harapan.

Kata Imam Hasan Al-Basri pula, hidup kita di dunia ini hanya tiga hari. Semalam yang telah berlalu, esok yang belum pasti kita menemuinya dan hari ini untuk kita rebut dengan amalan yang baik.

Apa pun yang kita jalani, hadapilah dengan hati yang terbuka, sentiasa berfikiran positif dan sebaiknya sentiasa bersedia dengan cabaran atau dugaan yang melanda. Hidup yang sementara ini sememangnya tidak boleh lari daripada ujian.

Allah berfirman dalam surah Al Baqarah ayat 155 yang bermaksud; Dan sungguh Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan harta benda, jiwa dan hasil tanaman. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.

Apa yang dinyatakan itu adalah hakikat yang kita semua hadapi, malah manusia terkaya di planet Bumi ini, Elon Musk dengan kekayaan lebih AS$400 bilion (RM1.7 trilion) juga berdepan dengan perasaan sama dengan kita.

Pada usia 53 tahun, dan dengan timbunan harta yang dimiliki dia masih tidak mampu ‘membeli’ harga sebuah ikatan perkahwinan apabila rumah tangganya juga runtuh.

Itulah roda kehidupan. Tiada siapa yang sempurna, sebab itu kita diminta untuk saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Antara yang kaya dengan yang miskin, yang kuat dengan yang lemah atau yang memegang kuasa dengan rakyat jelata, apa yang membezakan adalah amanah dan tanggungjawab untuk kita pikul sebagai seorang insan yang baik.

Namun, hakikatnya hari ini, semakin ramai manusia mudah terjebak dengan masalah diri sehingga ada berasakan bahawa dunia seakan tidak adil bagi dirinya dan akhirnya mencari jalan mudah membunuh diri.

Sedangkan banyak lagi cara dan tindakan yang boleh dipilih untuk kita mencari penyelesaian kepada sesuatu masalah. Jika berasa tertekan dan tersepit, bangun dan berusahalah mencari pintu keluar. Jika berasa berada di dalam kegelapan, carilah mereka yang sudi memimpin mencari sinar dan cahaya.

Apa yang penting ialah bentuk fikiran yang kita miliki. Satu kajian sains menunjukkan sikap positif dan mengekalkan keterbukaan hati (reda) ketika berdepan sesuatu masalah dapat menjadikan seseorang itu lebih bersedia untuk menghadapi hari esok yang tidak tentu.

Oleh itu, setiap kita perlu membina budaya untuk menjadi orang yang positif, baik dan memberi manfaat kepada orang lain. Suatu anjakan lama pada tahun yang baharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN