TAPAH – Seorang pengusaha restoran di Tapah Road di sini mengambil kesempatan menjual durian serendah RM3 sekilogram (kg) setiap kali musim raja buah itu tiba untuk pelanggannya.
Bapa kepada empat orang zuriat, Mohd Kairul Azhar Mohd Shuhaimi, 40, berkata, dia menjual durian kampung bermula RM3, RM6 hingga RM10 setiap satu kilogram yang bekalannya diperoleh daripada pemilik kebun durian sekitar Langkap dan Chenderiang dekat sini.
“Stok durian RM3 sekilogram sebenarnya amat terhad dan biasanya saya tambahkan atau beri percuma kepada pembeli durian harga yang lain kerana kebanyakan mereka merupakan pelanggan tetap restoran.
“Sambil mereka menikmati makanan di restoran dalam masa yang sama mereka dapat menikmati raja buah itu ibarat pencuci mulutlah,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Kata Mohd. Kairul, dia hanya menjual durian kampung sejak tujuh tahun lalu secara serius kerana rasanya sedap selain isinya yang kekuningan setanding dengan durian jenis premium.
“Selain itu, semua golongan boleh merasa dengan harga yang berpatutan kerana kebanyakan pelanggan sendiri ialah orang kampung dan pekan berdekatan.
“Saya telah membantu ayah sejak kecil lagi dan pernah menjual sehingga ke Pasar Borong Selayang sebelum ini tetapi kini telah mengusahakan restoran makanan milik keluarga, jadi tidak boleh pergi jauh seperti dulu,” katanya.
Ujarnya, musim buah durian beberapa tahun kebelakangan ini tidak menentu berbanding sebelum ini kerana boleh berbuah sehingga tiga hingga empat kali dalam setahun.
“Mungkin kerana faktor cuaca yang tidak menentu selain trend ramai pembeli gemar durian kampung kerana harganya yang berpatutan,” ujarnya.
















