SEBERANG PERAI – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan menaikkan kadar caj tempat letak kereta sebanyak 50 peratus mulai 1 Januari depan.
Kadar baharu menyaksikan caj parkir meningkat dari RM0.40 kepada RM0.80 untuk sejam, RM3.00 kepada RM6.00 untuk sehari dan RM75 kepada RM150 untuk sebulan.
Selain itu, kadar caj melibatkan tempoh penggunaan singkat turut diperkenalkan iaitu RM0.40 bagi tempoh parkir selama 30 minit manakala sewaan petak khas masih kekal mengikut kadar sedia ada iaitu RM 200 sebulan.
Datuk Bandar, Datuk Baderul Amin Abdul Hamid berkata, kenaikan kadar terbabit diperlukan bagi menampung kos penyelenggaraan termasuklah kerja pertukaran bateri pengesan (sensor) tempat letak kereta di seluruh Seberang Perai.
“Secara keseluruhannya, terdapat 24,000 tempat letak kereta dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 22,000 tapak mempunyai pengesan manakala selebihnya dipantau menggunakan peranti kamera.
“Bateri pengesan perlu ditukar setiap empat tahun dan kita memerlukan kira-kira RM3 juta untuk menukar kesemua bateri terbabit.
“Kenaikan kadar ini adalah relevan memandangkan ia telah digunakan hampir 30 tahun lalu dan tiada penilaian dilakukan sepanjang tempoh terbabit,” katanya dalam sidang media di Menara Bandaraya MBSP di sini, hari ini.-KOSMO! ONLINE