KANGAR – Seramai 2.6 juta pelancong direkodkan melawat Perlis pada tahun ini sehingga Oktober lalu menjadikan negeri ini sebagai salah satu destinasi pilihan utama di utara tanah air.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, kajian Tourism Malaysia bagi Januari hingga Jun lepas menunjukkan seramai 161,374 pelancong memilih penginapan berbayar di negeri ini, dengan 156,202 daripadanya merupakan pelancong domestik, manakala 5,172 lagi pengembara antarabangsa.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.04 juta kutipan hasil direkodkan menerusi lokasi ekopelancongan di bawah pengurusan Jabatan Perhutanan negeri.
“Antara lokasi tumpuan utama pelancong ialah Kompleks Ekopelancongan Sungai Batu Pahat, Kompleks Ekopelancongan Gua Kelam dan Taman Negeri Perlis,” katanya pada Sidang Dewan Undangan (DUN) Perlis di sini hari ini.
Menurutnya, lokasi lain yang popular adalah Viewpoint Wang Kelian, Taman Eko Rimba Bukit Kubu serta kawasan pendakian seperti Bukit Wang Mu dan Gunung Perlis.
Abu Bakar berkata, peningkatan kutipan hasil dan kedatangan pelancong itu membuktikan keberkesanan inisiatif Tahun Melawat Perlis 2024-2025.- KOSMO! ONLINE