PUTRAJAYA – Kelantan, Kedah, Perlis dan Terengganu negeri paling ‘tenat’ kes penyalahgunaan dadah, dengan lokasinya yang berdekatan sempadan negara memudahkan penagih mendapatkan bahan terlarang berkenaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dapatan itu diperoleh berdasarkan sumber daripada empat agensi iaitu Kementerian Kesihatan (KKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Bahagian Narkotik Bukit Aman dan pusat pemulihan narkotik swasta.
“Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu itu semua jalur dia. Saya bersandarkan kepada empat (agensi) data ini. Itu sumber data paling dipercayai menjadi sumber rujukan oleh semua institusi.
“Bila kita tengok nilai tangkapan dadah, pil kuda sahaja dari Januari hingga Oktober lalu, sebanyak satu tan (rampasan) di Kelantan. Maknanya purata sebulan 100 kilogram (kg).
“Rekod tahun ini juga RM228 juta nilai dadah dihapuskan setakat Oktober dengan hampir separuh nilai tangkapan itu di Kelantan untuk tiga tahun berturut-turut dari 2022 hingga 2024. Tiap tahun konsisten separuh dadah dilupuskan itu hasil tangkapan di Kelantan. Itu faktanya,” katanya pada sesi temu bual bersama Kosmo! baru-baru ini.
Beliau berkata, kajian terhadap insiden berkaitan dadah di negara ini juga menunjukkan daerah Pendang, Kedah berada di tangga nombor satu bagi kes penyalahgunaan dadah.
“Empat agensi ini memberikan jumlah data insiden pengedaran dadah, dia analisis berdasarkan kes dadah bagi setiap 100,000 populasi (negeri) serta bagi setiap 100,000 daerah.
“Yang lain jajahan terdapat di Kelantan, Terengganu dan Kedah, negeri yang paling tenat sekali, sangat tenat kes dadah,” katanya.
Beliau berkata, sehubungan itu kes penyalahgunaan dadah perlu dibanteras dengan kerjasama semua pihak sekali gus melangkaui soal politik.
“Saya sebut di Parlimen, saya kata boleh tak usaha untuk membanteras dadah ini, kita ketepikan sekejap pakaian politik. Mari kita tengok ini sebagai masalah. Masalah orang Melayu, masalah masyarakat, masalah dalam negara.
“Kita dah lawan dadah ni empat dekad. Kita perang dadah musuh negara segala macam, tapi sekarang ini menunjukkan paling serius di negeri tersebut,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata, larangan rentas sempadan melalui pangkalan haram di Sungai Golok dekat Rantau Panjang, Kelantan yang bermula 1 Disember lalu antara tindakan pihak berkuasa bagi membanteras aktiviti penyeludupan termasuk dadah.
“Kita ada hampir 160 jalan tikus di Semenanjung, manakala sebanyak 141 pintu masuk rasmi ke negara ini. Pintu masuk rasmi diwartakan dan diperakui oleh kedua-dua negara jiran yang berkongsi sempadan.
“Jalan tikus pula tidak pernah diwartakan oleh kedua-dua kerajaan, tapi digunakan (secara haram). Jumlah 160 ini besar dengan sebahagian besar di utara serta Kelantan,” katanya.
Ujarnya, selama berdekad-dekad penyeludupan berlaku di kawasan tersebut antaranya dadah, senjata dan manusia serta menyeludup keluar barangan kawalan seperti minyak masak, gas dan beras.
“Kaedah penyeludupan yang menggunakan binatang contohnya, penyeludup memasukkan barangan larangan dalam tubuh haiwan. Dia maklum eksport binatang lembu, tapi dalam badan lembu itu dimasukkan pelbagai bahan seludup,” katanya.














