PENDEDAHAN pelakon Zahnita Wilson yang 20 tahun menanggung derita akibat keganasan rumah tangga mengejutkan banyak pihak.
Penulis percaya ada ramai lagi ‘Zahnita’ yang terperangkap dalam perkahwinan toksik. Mereka hidup dalam ketakutan dan tidak berdaya keluar daripada ‘neraka dunia’ itu meski teruk didera mental dan fizikal.
Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 22,089 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di seluruh negara dengan Selangor mencatat rekod tertinggi iaitu 4,690 kes bagi tempoh 2020 hingga Ogos 2023 diikuti Kedah dan Sarawak.
Itu kes yang dilaporkan, angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi. Kebanyakan mangsa sedar mereka tidak seharusnya berada dalam situasi itu, namun berdiam diri kerana kebergantungan terhadap pemangsa dan takut diperlakukan lebih ganas.
Berbaloikan membiarkan diri terus disumpah seranah dan dipukul sesuka hati? Cinta bukan untuk dikasari, kekejaman tidak seharusnya dihalalkan.
Orang tua berpesan, jangan sesekali biarkan lelaki naik tangan. Sekali naik tangan tak mustahil berulang lagi. Harus diingat, isteri itu anugerah Allah SWT untuk suami, bukan untuk dipijak atau menjadi ‘punching bag’ yang boleh diperlakukan sewenang-wenangnya.
Bahkan, berbuat baik kepada isteri adalah perintah Allah SWT seperti mana yang disebut dalam al-Quran, surat An-nisaa ayat 19: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri kamu) dengan cara yang baik.”
Buat wanita yang menderita, sesungguhnya anda tidak sendirian. Sayangilah diri, jangan biarkan ketakutan menjadi penghalang mendapatkan bantuan.
Keganasan rumah tangga tidak seharusnya dipandang enteng, sebaliknya kesalahan jenayah bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 [Akta 521].
Justeru, jangan takut untuk bertindak. Sekiranya berdepan situasi bahaya, segera tinggalkan lokasi tersebut dan cari tempat lebih selamat misalnya di rumah saudara, rakan atau pusat perlindungan.
Sebaiknya buat laporan polis dan mohon Perintah Perlindungan Interim. Pastikan simpan segala bukti seperti gambar kecederaan, laporan doktor serta mesej ancaman.
Boleh juga mendapatkan bantuan di Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) di mana-mana hospital kerajaan. Pegawai perubatan yang memberi rawatan akan mengumpul bukti yang boleh digunakan sebagai bahan bukti di mahkamah. Laporan polis juga boleh dibuat di hospital berkenaan.
Pilihan lain, anda boleh rujuk Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Ini merupakan suatu perintah yang boleh dimohon oleh mangsa pada bila-bila masa dan terpakai dalam takrif keganasan rumah tangga di bawah Seksyen 2, Akta 521.
Anda dikehendaki bawa kad pengenalan atau sijil kelahiran dan tidak perlu membuat laporan polis untuk mendapatkan EPO yang sah selama tempoh tujuh hari.
Itu hanya sebahagian, ada banyak lagi jalan yang boleh anda ambil untuk keluar dari neraka ciptaan pasangan kejam. Wanita boleh manja tapi jangan lemah!














