fbpx
MIZAN bersetuju dengan langkah kerajaan memperkenalkan kembali PLKN.

PLKN bukan sekadar kursus ketenteraan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGUMUMAN pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 pada tahun depan telah mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat. Ada pihak menyokong dan tidak kurang juga mereka yang mengkritik agenda berkenaan.

Meskipun dirancang sebagai usaha untuk membentuk generasi muda lebih patriotik, namun program yang sebelum ini dibatalkan pada Ogos 2018 itu dilihat tidak sesuai dengan tahap kematangan remaja pada masa kini.
Malah, ada yang mengatakan bahawa program berkenaan bakal melibatkan kos tinggi, sekali gus akan membebankan kewangan negara.
Bagi membincangkan isu ini, wartawan Kosmo! Ahad, Ghazali Alias, menemu bual Pensyarah Jabatan Undang-Undang, Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mizan Muhammad bagi berkongsi pandangan beliau.

KOSMO! AHAD: Kerajaan bakal melaksanakan kembali Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 pada tahun depan selepas diberhentikan sebelum ini. Secara asasnya, adakah puan melihat langkah ini sesuatu yang wajar?
MIZAN: Pelaksanaan semula PLKN 3.0 dilihat sebagai langkah wajar kerana dapat membantu membentuk generasi muda yang mempunyai ketahanan diri, disiplin serta keupayaan untuk beradaptasi dengan situasi.
Program itu juga berpotensi untuk meningkatkan semangat kenegaraan dan perpaduan dalam kalangan remaja.

Ramai beranggapan PLKN sekadar satu program bersifat ketenteraan kepada generasi muda. Sebenarnya, apakah manfaat sebenar program itu sehingga diaplikasikan oleh banyak negara di dunia termasuk Singapura dan Korea Selatan?
PLKN bukan sekadar kursus ketenteraan, tetapi ia juga merangkumi aspek pembangunan jati diri, kemahiran sosial, kepimpinan dan patriotisme.
Sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, bagi PLKN 3.0, terdapat beberapa penambahbaikan dan format baharu.
Antaranya, program tersebut akan turut melibatkan tahap Pra-PLKN yang akan diikuti oleh para pelajar tingkatan 4 di sekolah masing-masing.
Sementara mereka yang berusia 17 tahun dan ke atas pula akan mengikuti Tahap Latihan Asas PLKN yang akan dikendalikan di 13 Kem Wataniah, 20 institut pengajian tinggi awam dan beberapa politeknik di seluruh negara.
Menariknya, dalam penjelasan tersebut, beliau menyatakan bahawa pecahan modul yang akan digunakan bagi peserta 17 tahun dan ke atas terdiri daripada 30 peratus modul kenegaraan dengan pelbagai elemen seperti patriotisme serta jati diri.
Baki 70 peratus lagi adalah modul ketenteraan yang melibatkan pembelajaran di lapangan serta latihan berkumpulan.

Difahamkan, tidak semua remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dipanggil mengikuti PLKN 3.0. Pada pendapat puan, golongan manakah yang wajar dipanggil sertai program tersebut. Adakah perlu tertumpu kepada pelajar ‘bermasalah’ sahaja?
PLKN sebaiknya terbuka kepada semua remaja lepasan SPM tanpa mengira latar belakang akademik atau masalah disiplin.
Ini kerana, program itu bertujuan untuk memberikan pengalaman sama rata dan menyeluruh kepada golongan belia bagi membina generasi yang memiliki jati diri ampuh, matang dan mandiri.
Ungkapan ‘pelajar bermasalah’ ini perlu diperhalusi.
Hal ini kerana, pelajar bermasalah bukan sekadar merujuk kepada mereka di sekolah yang mempunyai isu disiplin, tetapi perlu dilihat juga mahasiswa yang sudah berada di universiti.
Ini kerana, ramai juga mahasiswa yang menghadapi masalah ketidakmatangan bagi menghadapi kehidupan lebih mencabar dan ketidakupayaan beradaptasi dengan situasi semasa dengan baik.

Apakah elemen-elemen yang harus ditampilkan dalam PLKN 3.0 bagi melahirkan generasi muda berdisiplin dan lebih matang? Paling penting, apakah pendekatan terbaik untuk menerapkan setiap elemen tersebut kepada gen Z yang diketahui berbeza dengan generasi sebelum ini?
Pada pendapat saya, biarpun gen Z ini dikatakan berbeza dengan generasi terdahulu, namun terdapat beberapa nilai asas dalam kehidupan manusia yang perlu diterapkan merentasi generasi. Sebagai contoh, adab dan tatasusila, menghormati orang dan masa, empati dan peduli dengan masyarakat sekeliling serta menguasai pelbagai cabang ilmu yang bukan bersifat teori semata.
Elemen-elemen lain yang harus ditampilkan termasuk latihan ketahanan fizikal, kemahiran komunikasi, kerja berpasukan dan pengurusan stres.
Memandangkan gen Z adalah generasi yang amat bergantung kepada penggunaan teknologi dan media digital, ada kewajarannya untuk mengajar serta melibatkan peserta dalam aktiviti interaktif yang relevan dengan minat mereka.

Sebelum ini, puan ada menyatakan tahap kematangan generasi muda masa kini amat membimbangkan. Apakah aspek yang menunjukkan generasi muda pada hari ini kurang matang?
Pandangan saya kurang kematangan mereka (walaupun bukan semuanya begini) termasuk ketidakmampuan menguruskan emosi dengan baik.
Selain itu, masih ramai yang tidak memiliki kemahiran menyelesaikan masalah yang mungkin berpunca daripada kurangnya pendedahan tentang realiti hidup di luar kerangka kehidupan peribadi mereka.
Selain itu, generasi kini dilihat kurang melibatkan diri dalam menunaikan tanggungjawab sosial, dan kekurangan kesedaran tentang isu-isu global dan nasional.

Pada pendapatan puan, adakah sistem pendidikan yang sedia ada ketika ini tidak mampu melahirkan seorang remaja berfikiran matang dan berdisiplin sehinggakan kita memerlukan satu program khas seperti PLKN?
Bagi saya, kerangka pendidikan kita sebenarnya baik. Bertunjangkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang memastikan keseimbangan dalam aspek jasmani, emosi, rohani, intelek, sosialisasi, adab dan hamba Allah (JERISAH).
Namun sayangnya, akses pendidikan yang diterima oleh anak-anak kita tidak bersifat sama rata.
Terdapat kesenjangan yang jelas misalnya antara pelajar luar bandar dan bandar, antara sekolah harian dan sekolah berasrama penuh serta antara sekolah kerajaan dan sekolah swasta.
Kualiti prasarana pengajaran dan pembelajaran yang berbeza sudah pasti akan memberi impak berlainan terhadap keberkesanan penyampaian dan ketersampaian ilmu, sekali gus memberikan hasil berbeza pada setiap pelajar.
Ditambah pula dengan fokus pemantapan pendidikan negara yang dilihat tidak konsisten dan agak bercelaru. Antaranya dilema yang tidak berkesudahan tentang keperluan sistem peperiksaan standard kebangsaan dilaksanakan di sekolah, sedangkan isu yang lebih memerlukan perhatian adalah silibus pembelajaran dan budaya belajar.

Secara asasnya, adakah puan melihat PLKN mampu menjadi medan untuk mengeratkan hubungan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini dan memupuk semangat cintakan tanah air?
Ya, PLKN mampu menjadi wadah penyatuan bangsa mengeratkan hubungan perpaduan kerana bersifat menyatukan peserta daripada pelbagai latar belakang dalam suasana kerjasama serta persefahaman.
Apatah lagi, modul PLKN 3.0 yang akan digunakan bagi peserta 17 tahun dan ke atas atau ringkasnya para pelajar di universiti terdiri daripada 30 peratus modul kenegaraan dengan pelbagai elemen seperti patriotisme dan jati diri.
Sementara baki 70 peratus lagi adalah modul ketenteraan yang melibatkan pembelajaran di lapangan serta latihan berkumpulan.

Selepas seseorang remaja itu tamat program PLKN, bagaimanakah kita boleh tahu semangat nasionalisme mereka sudah meningkat? Ini kerana, perkara tersebut sukar dilihat dengan mata kasar.
Untuk menilai peningkatan semangat nasionalisme, antara lain kita boleh melihat kepada perubahan sikap dan tingkah laku mereka. Misalnya, peningkatan penglibatan dalam aktiviti komuniti, semangat untuk mempertahankan negara, sikap peduli tentang perkembangan semasa di dalam dan luar negara serta kesediaan menyumbang kepada masyarakat.
Penilaian juga boleh dilakukan melalui kajian tindak balas selepas tamat program.
Meskipun PLKN diketahui mempunyai banyak manfaatnya, namun terdapat mereka yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan PLKN 3.0. Mengapakah ada suara-suara kritikan sebegini?
Kritikan terhadap PLKN mungkin datang daripada pelbagai sudut seperti kebimbangan tentang kos pelaksanaan, keberkesanan program atau pengalaman negatif sebelum ini.
Namun, usaha memupuk patriotisme dan nilai jati diri yang baik dalam diri anak muda bukanlah perkara yang bersifat sampingan atau sisipan.
Maka, penting untuk kerajaan mendengar dan menangani kebimbangan ini secara terbuka. Ini bagi memastikan pelaksanaan PLKN 3.0 lebih baik dan berkesan, sekali gus mencapai objektif yang dihasratkan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN