TUMPAT – Lebih 500 anggota polis Polis Diraja Malaysia (PDRM) kontinjen Kelantan termasuk ahli keluarga mereka terjejas banjir yang melanda negeri ini sejak hampir seminggu lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, ahli keluarga anggota tersebut dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Pasir Mas, Tumpat dan Kota Bharu.
Katanya, meskipun ada anggota polis yang menjadi mangsa banjir, penugasan mereka dalam bidang tugas masing-masing tidak terjejas.
“Keluarga mereka dipindahkan ke PPS manakala anggota polis meneruskan tugas menyelamatkan mangsa banjir.
“Penugasan anggota tidak terjejas dan mereka boleh meneruskan tugasan,” katanya ketika ditemui pemberita semasa melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di surau Ar-Rasyidin, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff memberitahu, banjir di Kelantan semakin surut, namun mangsa yang dipindahkan ke PPS meningkat.
“Mungkin air bah dari Rantau Panjang dan Pasir Mas turun sehingga menyebabkan Tumpat pula terkesan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE