fbpx
Putin

Putin takkan berani?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Perang Ukraine bukan sahaja tiada tanda akan berakhir selepas lebih 1,000 hari tetapi kini di ambang konflik nuklear.

Garisan merah yang ditetapkan oleh Presiden Russia, Vladimir Putin satu demi satu dilanggar oleh Barat yang diketuai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara(NATO) secara sembrono.

Bukan itu sahaja, Kyiv yang dibantu pasukan NATO tanpa perisytiharan rasmi, mara ke wilayah Kursk di Russia dengan harapan mengalihkan ketumbukan tentera Moscow di Donbass.

Perkembangan ini mencipta sejarah kerana inilah kali pertama wilayah Russia diduduki musuh sejak Perang Dunia Kedua.

Lebih membimbangkan, Amerika Syarikat yang berbaki hampir dua bulan di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden, memberi lampu hijau kepada Ukraine untuk menyerang Russia dengan sistem peluru berpandu jarak lebih jauh dan sukar dipintas sekali gus melanggar satu lagi garisan merah yang ditetapkan oleh Putin.

Britain menyusul apabila membenarkan Kyiv menggunakan misilnya iaitu storm shadow.

Semua ini seperti Barat mengumpan Moscow supaya menggunakan senjata nuklear strategik ke atas Ukraine menjelang peralihan kuasa di White House.

Bakal Presiden Amerika yang baharu, Donald Trump telah menegaskan bahawa beliau akan menamatkan perang di Ukraine sebaik sahaja menduduki White House.

Namun, perkembangan sebelum peralihan kuasa yang berlaku sangat membimbangkan. Barat seperti yakin bahawa Putin hanya berani bercakap dan penakut.

Bagi mereka, Putin tidak sesekali akan menggunakan senjata nuklearnya ke atas Kyiv.

Ini kerana walaupun sudah berkali-kali Barat melanggar garisan merah yang ditetapkan oleh Presiden Russia itu, tiada satu pun peluru berpandu nuklear meletup di wilayah Ukraine. Yang menghairankan pula adalah di sebalik retorik NATO yang berapi-api, tiada perisytiharan perang secara rasmi dibuat.

Apa yang berlaku adalah perang bayangan yang disokong dan menerima bantuan NATO di Ukraine bertukar menjadi semakin buruk.

Presiden Volodymyr Zelensky pula menetapkan syarat supaya Russia pulangkan semula semua wilayah yang ditakluki Moscow sebelum perang tercetus sebagai syarat rundingan damai.

Kedua-dua Russia dan Amerika memiliki lebih 1,600 senjata nuklear sedia untuk digunakan pada bila-bila masa sahaja.

NATO melihat konflik di Ukraine berterusan di bawah tanggapan ‘Putin is bluffing’.

Pengakhiran 2024 condong kepada ‘escalation’ dan bukan sebaliknya. Ini hakikat bukan retorik.

Adakah bunyi mercun dan bunga api akan mengiringi Tahun Baru 2025 seperti tahun-tahun sebelumnya atau dunia bakal dikejutkan dengan dentuman lain?

Diharap NATO dan Moscow dapat kembali ke meja rundingan dan menamatkan ekslalasi ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN