REKAAN busana penuh mewah dengan siluet berbeza merupakan antara ciri khas dan unik yang ada pada label fesyen tempatan, Friesenguys.
Tidak hairanlah, label dinamik milik anak tempatan, Edie Chung itu cukup popular bukan sahaja di negara ini tetapi juga di Jepun.
Friesenguys diasaskan Chung pada tahun 2019.
Ia bermula sebagai medium memperkenal inovasi dan ekspresi kemudian bertukar menjadi sebuah label yang menterjemah seni serta menyampaikan cerita menerusi pakaian.
Justeru, sempena meraikan ulang tahun ke-34 gedung beli-belah Isetan di Malaysia, label fesyen itu pada 26 Oktober lalu mengadakan pertunjukan fesyen bagi koleksi terbaharunya, RENAIS-SAUCE bertempat di Isetan The Japan Store, pusat beli-belah Lot 10, Kuala Lumpur.
Sejak pembukaannya pada tahun 1990, gedung beli-belah dari Jepun itu sentiasa menunjukkan sokongan terhadap bakat fesyen tempatan di negara ini, sekali gus menjadi simbol kebudayaan fesyen yang menggabungkan gaya antarabangsa dengan bakat tempatan.
Koleksi terbaharu Chung menampilkan busana dengan estetika berani, namun masih tampil elegan dan timeless.
Ujar Chung, koleksi tersebut adalah interpretasi label itu yang menggabungkan gaya elegan dengan playful.

“Koleksi ini menggabungkan busana elegan yang tak lapuk dek zaman, bersama gaya playful yang penuh chaotic.
“Sama seperti seorang tukang masak, pereka fesyen juga memerlukan ramuan yang betul untuk menghasilkan sesuatu yang istimewa, dan daripada situlah nama RENAIS-SAUCE ini timbul,” kata Chung.
RENAIS-SAUCE menampilkan eksplorasi berani Chung dalam mengetengahkan busana avant-garde, namun masih sesuai dipakai buat apa jua acara.
Menariknya, busana ini juga dihasilkan dan diinspirasikan daripada koleksi kain perca atau lebihan kain yang biasanya dibuang sebagai salah satu usaha Chung untuk menyokong fesyen mampan.
Hasilnya, koleksi RENAIS-SAUCE nampak segar dan menyerlah dengan elemen spontan.
“Sebagai seorang pereka fesyen, sudah semestinya anda mahu mengawal setiap proses penghasilan sesuatu busana itu.
“Namun, bagi koleksi kali ini, saya membiarkan fabrik itu yang mengawal dan menentukan hasil akhir busana.
“Cabarannya terletak pada bagaimana saya mahu menghasilkan pakaian menggunakan fabrik yang ‘tidak menentu’ ini, namun dalam masa yang sama perlu memastikan ia boleh dipakai,” kata Chung.
Rona-rona terang seperti merah jambu, hijau pucuk pisang dan kuning digunakan pada koleksi ini sebagai menyerlahkan estetika.
Busana dengan potongan leher tinggi bersama bahagian bawah yang kembang antara rekaan yang menonjol dan menyerlah estetika label tersebut.
Koleksi RENAIS-SAUCE kini boleh didapati di cawangan Isetan Lot 10 Bukit Bintang.














